MALAYSIAKINI
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa
pemimpin yang pengecut merupakan manusia paling bahaya sekali, sambil
menekankan tentang pentingnya integriti dalam kepimpinan.
Tunku Ismail berkata nenda baginda - Almarhum Sultan Iskandar - selalu
berpesan bahawa sifat kepimpinan yang paling agung adalah integriti,
yang menurut baginda, semakin sukar dijumpai.
"Baginda juga berpesan bahawa seorang pemimpin yang pengecut merupakan
manusia yang paling bahaya sekali, dan salah satu ujian dalam kepimpinan
adalah untuk mengenal pasti sesuatu masalah sebelum ianya menjadi
darurat.
"Baginda juga mendidik saya bahawa pemimpin yang hebat memperoleh
kekuatan untuk mencapai visinya daripada semangat yang kental dan
bukannya daripada jawatan atau kedudukannya," tegas baginda dalam
Facebook Johor Southern Tigers.
Tunku Ismail bertitah bahawa baginda bersyukur kerana telah dibesarkan
dan dididik oleh dua pemimpin yang unggul, iaitu Almarhum Sultan
Iskandar dan ayahanda baginda Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail bertitah, nasihat baginda kepada semua pemimpin dalam
setiap sektor kerajaan, NGO dan organisasi di Johor adalah supaya
memberikan inspirasi dan memimpin segenap lapisan rakyat.
"Jangan cuba memanipulasi dan menguruskan orang. Inventori barangan
boleh diuruskan, tetapi rakyat harus dipimpin melalui tauladan dan
dengan berintegriti.
"Ingatlah bahawa kunci kepimpinan yang cemerlang pada hari ini adalah
dengan mempunyai pengaruh, bukannya dengan menunjukkan kuasa.
"Tiada maknanya jika anda mempunyai kuasa tetapi tidak mampu
mempengaruhi rakyat secara positif. Sekiranya anda mempunyai kuasa
tetapi tidak mampu mempengaruhi rakyat secara positif, itu petanda yang
anda tidak layak menjadi seorang pemimpin," titah baginda.
Tunku Ismail juga bertitah nampaknya apa yang baginda katakan sering membuatkan ramai orang melenting.
"Oleh itu, saya hanya bercakap dalam konteks Negeri Johor yang dekat di hati saya," titah baginda lagi.
No comments:
Post a Comment