Sunday, June 28, 2015

Isu hudud: Biar anjing, serigala menyalak, kata Hadi

MALAYSIAKINI



 
 
 
PAS akan meneruskan agenda untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan, demikian ditegaskan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
  
Beliau berkata walaupun ada sesetengah pihak yang menolak pelaksanaan undang-undang hudud, PAS tidak akan berganjak malah mengorak langkah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi membolehkan sebahagian undang-undang hudud dapat dilaksanakan di negeri itu.
  
"Dalam hal ini, PAS mengambil sikap untuk mengajak manusia secara damai. PAS tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang yang nak ajak berkelahi, nak ajak berlawan. Biarlah...biar dia sahaja yang bersuara kita bawa agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak... qabilah berjalan terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju.
  
"Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak," katanya pada ceramah perdana kepimpinan PAS Pusat di Markas Tarbiyah PAS negeri, Pongsu Seribu di Kepala Batas malam tadi.
  
Turut hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan dan barisan kepimpinan PAS Pulau Pinang.

Abdul Hadi sekali lagi mengulangi bahawa undang-undang hudud bukan untuk menyeksa penjenayah sebaliknya ia bertujuan mendidik penjenayah selain membela mangsa yang dizalimi.
  
"Sebagai contoh hukuman sebat. Kita tak boleh samakan hukuman sebat yang ada dalam penjara hari ini dengan hukuman sebat dalam Islam di mana sekali sebat bukan kulit sahaja yang pecah isi juga yang pecah.
  
"Hukuman sebat dalam Islam ini pukul tak boleh sampai memecahkan kulit, tak boleh menyeksa tetapi mendidik penjenayah dan menakutkan bakal penjenayah. Bunyinya seratus sebatan, tapi sebatannya tidak memecahkan kulit," katanya.
  
Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan anggota-anggota PAS untuk menjaga setiap tutur kata agar tidak merosakkan nama baik parti yang mempunyai adab, akhlak dan peraturan yang perlu dijaga setiap anggota parti.
  
"Kita kena ingat bahawa selagi kita ikat diri kita di jalan Islam menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga nama baik Islam, nama baik jemaah dan perjuangan yang kita bawa.
  
"Jangan kita tiba-tiba duduk dalam jemaah dan kita mengkritik jemaah yang kita duduk itu. Ia tidak mencerminkan kebaikan akhlak kita kerana seorang yang baik tidak akan keluar daripada mulutnya melainkan kebaikan," katanya.-Bernama
 
 
 

No comments: