MALAYSIAKINI
NGO Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (NOW) hari ini meminta
kerajaan memberi penjelasan sama ada pembelian tiga hartanah yang lain
di Australia oleh MARA Inc turut melibatkan sogokan.
Ia berikutan laporan akhbar Australia The Age mendakwa anak syarikat
Majlis Amanah Rakyat itu membuat pembelian apartmen "The Dudley" di
Melbourne dengan harga yang tinggi dan lebihannya disalurkan kembali
kepada pegawai MARA sebagai sogokan.
"Sekiranya
tuduhan penyelewengan dalam pembelian The Dudley mempunyai asas,
perdana menteri perlu mengarahkan siasatan menyeluruh termasuk pembelian
hartanah-hartanah yang lain yang secara keseluruhannya melibatkan
ratusan juta ringgit wang amanah rakyat," kata pengarah NOW Rafizi Ramli
dan Akmal Nasir dalam kenyataan media bersama.
Rafizi merupakan ahli parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR manakala Akmal merupakan pengarah strategi AMK.
Mereka berkata siasatan NOW turut menemui tiga pembelian hartanah oleh
MARA Inc selain daripada The Dudley iaitu di 746 Swanston Street, 51
Queen Street dan 333 Exhibition Street.
Justeru, kedua-duanya memohon penjelasan sama ada jumlah pembelian
kesemua hartanah itu dilakukan dengan harga yang munasabah atau
sebaliknya.
"Jika
benar, adakah jumlah urus niaga empat hartanah ini menelan belanja
RM244.47 juta dan adakah kesemua urusniaga ini dijalankan pada harga
munasabah atau pada harga yang dinaikkan?," soal mereka.
Akhbar The Age menganggarkan harga hartanah di Swanston Street
bernilai A$23.5juta manakala hartanah di Queens Street dan Exhibition
Street pula jika digabungkan bernilai A$40 juta.
Rafizi dan Akmal turut mempersolkan mengapa MARA mempunyai syarikat yang
didaftarkan didaftarkan di kepulauan British Virgin sebagai tempat
untuk berlindung daripada cukai dalan kes pembelian hartanah.
Pada masa yang sama, mereka mempersoalkan mengapa syarikat tersebut tidak didaftarkan terus di Malaysia atau Australia.
Semalam The Age mendakwa sekumpulan pegawai MARA menggunakan dana
pelaburan kerajaan Malaysia untuk membida harga blok apartmen Dudley
International House daripada A$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5
juta (RM65juta) dengan wang perbezaan itu didakwa dijadikan sebagai
rasuah di tanah air.
No comments:
Post a Comment