MALAYSIAKINI
Fasa ke-20 perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur
Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini, dilanjutkan ke fasa ke-21
bermula esok hingga 17 Jun, berkuat kuasa dari jam 7 malam hingga 5
pagi.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata keputusan
melanjutkan perintah berkurung yang merangkumi perairan enam daerah di
pantai timur Sabah itu dibuat selepas mengambil kira situasi keselamatan
di kawasan berkenaan serta atas permintaan banyak pihak.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan itu dibuat bagi
menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan pantai timur
selain menjamin keselamatan pelancong serta rakyat Sabah di daratan
Esszone.
Beliau berkata perlanjutan itu juga bagi memudahkan anggota keselamatan
melaksanakan penguatkuasaan, termasuk memantau segala pergerakan bot
yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan, menyekat
aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.
Menurut Jalaluddin perintah berkurung itu juga dilanjutkan kerana
mendapat sokongan pengusaha chalet dan masyarakat yang menjalankan
aktiviti perikanan serta demi menjamin keselamatan perairan termasuk di
pulau persempadanan.
Jalaluddin berkata kuasa juga diberi kepada semua Ketua Polis Daerah di
Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan
aktiviti perikanan atau bagi laluan yang mendesak.
- Bernama
No comments:
Post a Comment