UMNO perlu tuntas berubah dalam mendepani cabaran politik semasa tanah air dengan memperkukuhkan solidariti mereka untuk terus kekal menjadi parti teras kepada pemerintahan negara.
Pakar politik dan akademik berpendapat dalam mendepani cabaran politik kini, Umno, yang akan menyambut ulang tahun ke-69 penubuhannya pada 11 Mei ini, perlu berani berubah dalam modus operandi politik mereka dan bersedia melakukan pembaharuan yang segar.
Pensyarah Geo-Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata sebagai tunjang utama kerajaan, Umno perlu menjawab segala kritikan dan menjelaskan pelbagai isu semasa kepada rakyat.
"Kepimpinan dan keseluruhan jentera baik dari atas sampai ke peringkat cawangan perlu faham, sekarang ini, apa-apa isu baik yang baik dan buruk perlu segera dijelaskan.
"Jika solidariti dalam kalangan jentera sendiri kurang atau tiada, bagaimana mereka ingin turun padang dan sama-sama jelaskan isu semasa dalam misi meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat?," katanya.
Mohd Fuad berkata apabila semua isu dijelaskan dan penambahbaikan dilakukan, maka sokongan dan keyakinan rakyat kepada Umno pasti diterjemahkan pada PRU14 nanti.
Sementara itu, penganalisis politik Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat pendekatan pemasaran Umno untuk mendapatkan keyakinan rakyat perlu berubah dan bukan lagi di takuk lama.
"Jika tidak, rakyat akan mendengar perkara yang sama. Tiada idea segar dan tiada perubahan," katanya.
Bersempena sambutan ulang tahun ke-69 penubuhan Umno, beberapa acara penting tahunan telah dirancang baik dari pengisian ilmiah mahupun kerohanian, kata jurucakap Umno.
Ini termasuk tahlil khas buat Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, bekas Ahli Parlimen Rompin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), yang terkorban dalam nahas helikopter pada April lepas.
Turut dirancang adalah solat Maghrib diikuti bacaan Yasin, doa kesyukuran di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selain solat Isyak.
Acara lain adalah upacara menaikkan bendera Umno di Dewan Merdeka, PWTC, diiringi nyanyian lagu Umno 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat'.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan amanat pada majlis itu yang turut dihadiri pemimpin parti komponen BN selain menyampaikan anugerah Melayu terbilang.
Pada PRU13, Umno meraih 88 kerusi Parlimen dan 241 kerusi Dun berbanding 79 kerusi Parlimen dan 239 kerusi Dun pada PRU12.
Selepas PRU lepas, parti teras BN itu kini berdepan pelbagai cabaran termasuk kritikan terhadap program kerajaan seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan, teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Umno diasaskan pada 11 Mei 1946 oleh Datuk Onn Jaafar yang juga Presiden Umno pertama bertujuan membantah penubuhan Malayan Union oleh kerajaan British ketika itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment