MALAYSIAKINI
Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah semalam menyatakan sokongan terhadap
kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan usahanya
untuk menyelesaikan kemelut berkenaan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB).
Ketua Penerangannya Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata perkara itu
disuarakan Umno Kedah pada mesyuarat itu, yang disifatkan sebagai
"perjumpaan mesra", dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
semalam.
"Kita (Umno Kedah) beri sokongan kepada Perdana Menteri, seperti
sebagaimana Perdana Menteri selalu kata supaya memberi beliau masa untuk
menyelesaikan perkara (1MDB) termasuk meminta Jabatan Audit Negara
menjalankan audit.
"Kita tidak hendak memberi tekanan kerana kalau lebih tekanan, ia lebih
kepada terpengaruh dengan desakan pembangkang," katanya kepada pemberita
selepas mesyuarat itu di sini.
Turut hadir Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Mohd Rawi yang juga exco kerajaan negeri berkata, mesyuarat itu turut
menyentuh kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
terhadap Najib.
Beliau berkata Umno Kedah menyayangi Dr Mahathir, yang berasal dari negeri ini, dan Najib yang juga Presiden Umno.
"Kita (Umno Kedah) sayang kedua-duanya, satu adalah Perdana Menteri dan
satu lagi bekas Perdana Menteri kita. Kasih sayang kita tidak
berbelah-bahagi," katanya.
Mohd Rawi berkata pada mesyuarat itu, Mukhriz meminta sokongan Muhyiddin
berhubung cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina Lapangan Terbang
Antarabangsa Kulim (KXP) yang dianggarkan bernilai RM1.6 bilion.
Menurutnya Timbalan Perdana Menteri mahu mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu.
Muhyiddin turut bertanya mengenai persiapan Umno Kedah bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan usahanya menarik pengundi baru
selain mendapatkan maklum balas berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan
Perkhidmatan
(GST).
"Nasihat beliau supaya Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Kedah,
kita dan kerajaan negeri mesti mengenal pasti masalah rakyat dan
menangani permasalahan seperti perumahan dan isu-isu lain," kata Mohd
Rawi.-Bernama
No comments:
Post a Comment