KUALA LUMPUR - Sabah dan Sarawak akan memperoleh lebih banyak
pembangunan dan kemajuan untuk jangka masa panjang sama ada di kawasan
bandar mahupun luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Di bawah rangka rancangan lima tahun bermula 2016 hingga 2020 yang
dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat
hari ini, pelbagai perancangan disentuh untuk kemajuan kedua-dua negeri
berkenaan.
Antaranya melibatkan kemudahan asas, pertambahan dan penambahbaikan
infrastruktur jalan raya dan lapangan terbang, pembangunan, kemajuan
luar bandar, penambahan peluang pekerjaan, kesihatan, hospital dan
sebagainya.
Perihal mengenai rancangan pembangunan dan kemajuan di Sabah dan
Sarawak mula disentuh Najib dengan mengulangi pelan pelaksanaan tiga
projek perintis bagi 1Malaysia Youth City, iaitu di Semenanjung, Sabah
dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM100 juta sepertimana dalam
Bajet 2015.
Dalam RMK11 yang bertemakan 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' itu juga,
Najib berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada pemberian hak milik
tanah adat (NCR) untuk Orang Asli dan bumiputera dari Sabah dan Sarawak
bagi menggalakkan pembangunan tanah.
Menyentuh tentang pembangunan bandar dan luar bandar yang saling
melengkapi, Najib berkata penyediaan prasarana asas luar bandar seperti
jalan raya akan diteruskan, di Sabah dan Sarawak.
"Kerajaan akan membina 3,000 kilometer jalan berturap lagi di luar bandar bagi tempoh 2016 sehingga 2020," katanya.
RMK11 dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan RM260 bilion itu juga
akan turut menyasarkan peningkatan pelaburan dan pekerjaan di lima
koridor dalam negara iaitu Iskandar Malaysia, Koridor Pembangunan Sabah,
Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Utara dan Koridor Tenaga Boleh
Diperbaharui Sarawak.
Jelas Perdana Menteri, dalam tempoh 2011 sehingga 2014, lima koridor tersebut menarik pelaburan komited sebanyak RM307 bilion.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dengan jumlah pelaburan itu, ia telah menjana lebih 427,000 peluang pekerjaan.
"Maka, untuk RMK11 ini, kerajaan menyasarkan sebanyak RM236 bilion
pelaburan dan mewujudkan sebanyak 470,000 pekerjaan lagi di kelima-lima
koridor wilayah tersebut," katanya.
Menyentuh mengenai penambahbaikan kemudahan dan taraf kesihatan pula,
Najib menarik perhatian, Hospital Tawau dan Hospital Kota Marudu di
Sabah, serta Hospital Miri akan dinaik taraf selain menyiapkan hospital
di Sri Aman, kedua-duanya di Sarawak.
Perdana Menteri berkata RMK11 itu juga turut menyentuh projek
infrastruktur utama termasuk pembinaan lapangan terbang Mukah dan Lawas
di Sarawak yang akan melonjakkan kemajuan negeri tersebut.
Kerajaan juga katanya turut mengenal pasti Kuching dan Kota Kinabalu
serta Johor Baharu dan Kuala Lumpur sebagai bandar-bandar yang akan
melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara, namun memerlukan rangka pelan
induk yang komprehensif untuk dilaksanakan dengan jayanya.
"Jika dahulu, kalau berbicara tentang negara China, hanya bandar
Beijing dan Shanghai diperkatakan. Namun kebelakangan ini, bandar-bandar
lain di negara China seperti Shenzhen atau Guangzhou, menjadi sebutan
di persada dunia.
"Justeru, bagi meningkatkan daya saing negara, bandar Kuala Lumpur,
Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu telah dikenal pasti untuk
melonjak pertumbuhan ekonomi. Bandar-bandar ini akan merangka pelan
induk persaingan masing-masing supaya selaras dengan aspirasi negara di
bawah RMK11," kata beliau. - Bernama
No comments:
Post a Comment