Rahmat Haron
'Kemanusiaan' barangkali satu perkataan yang kini dianggap klise atau
terkait dengan maksud tersembunyi atau suatu kesia-siaan. Ribuan berita
derita di dunia, ribuan kehampaan. Di sebalik kedukaan ini, kehidupan
diteruskan.
Lebih gelap lagi kemanusiaan, sebagaimana yang dapat kita fahami
daripada susur galur bahasa Inggerisnya, humanity, yang mencetuskan
aliran pemikiran dan gagasan humanisme dianggap sebagai ancaman oleh Perdana Menteri Najib Razak.
Saya fikir kita tidak perlu pergi terlalu jauh meredah teori politik dan
falsafah berkenaan humanisme, berkenaan peri kepentingan untuk memiliki
perasaan kemanusian, yang paling dekat dengan kita rasa kasih dan
cinta.
Tiadakah ehsan manusiawi? Ke manakah insan dan nurani? Sudah
berhari-hari mereka terapung-apung di lautan Andaman, di pukul
gelombang, ombak dan hujan ribut. Kelaparan dan penyakit, kematian.
Begitulah nasib ribuan pelarian Rohingya yang masih terumbang-ambing
nasibnya.
Thailand,
Indonesia dan Malaysia, saling tolak-menolak. Sementara itu, ramai yang
terkorban. Mereka terbuang tidak bertempat untuk meneruskan kehidupan
yang manusiawi.
Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago memerhatikan bahawa keganasan yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar ke atas warga Rohingya itu sudah berlangsung berdekad lamanya.
“Mereka menjadi tidak berwarga negara di tanah kelahiran mereka sendiri,
apabila Undang-undang Warganegara 1982 menarik balik taraf
kewarganegaraan mereka,” tulisnya.
Bagaimanapun, tanpa ragu-ragu Malaysia berhasrat untuk menghantar para pelarian itu pulang ke negara asalnya.
Walhal, Malaysia tahu bahawa tindakan itu akan menyebabkan pelarian
tersebut berdepan dengan keganasan dan pembunuhan, kata Charles.
Sebahagian besar dari para pelarian Rohingya ini menjadi mangsa
pemerdagangan orang. Mereka ditinggalkan di kem haram di sepanjang
sempadan Malaysia-Thailand atau pun di lautan Andaman. Ini bukanlah
cerita baru.
Sila
baca buku tulisan Mendiang Irene Fernandez, berjudul 'The Revolving
Door – Modern Day Slavery', terbitan NGO hak pekerja migran, Tenaganita.
Buku ini mendedahkan pengakuan para pelarian itu sendiri yang menjadi mangsa perhambaan moden.
Mendiang Irene, tokoh terbilang yang memperjuangkan hak buruh migran di
Malaysia, dalam buku tersebut turut mendedahkan masalah rasuah, salah
guna kuasa dan pemerdagangan manusia yang berlaku di Malaysia, dan di
sempadan Malaysia-Thailand.
Buku tersebut terbit pada tahun 2008. Namun sehingga kini, masalah pelarian Myanmar masih belum selesai.
Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf para pelarian Rohingya ini sebagai
“person of concern” (orang yang perlu diberi perhatian) di bawah
Konvensyen PBB berkaitan Status Pelarian.
Sepanjang tiga tahun yang berlalu, Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) UNHCR merekodkan seramai lebih 120,000 orang Rohingya melayari kapal, tongkang dan bot untuk lari ke negara lain.
Pada bulan Mei 2015 ini, Setiausaha Agung PBB mendesak
kerajaan rantau ini untuk mengingati tanggungjawab mereka untuk membuka
sempadan dan pelabuhan mereka kepada orang yang terbuang di lautan.
Desakan itu juga bagi memastikan kerajaan rantau ini mematuhi sekatan
yang menghalang penghantaran pulang para pelarian atau pemohon suaka.
Ini kerana individu malang ini akan menjadi mangsa penganiayaan dan penyeksaaan.
Suatu waktu dahulu, kita terdengar banyak ikhtiar kutipan derma dan
bantuan kemanusiaan dihulurkan terhadap masyarakat Rohingya di Burma.
Antaranya usaha yang digerakkan Azeez Raheem melalui Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia.
Cuma saya berharap, ia tidak menjadi seperti Tabung Haji, dengan urusniaga tanahnya, yang kini dipengerusikan Azeez juga.
Seperkara
mengenai pertubuhan Asean, seperti mana yang disebut oleh Charles
Santiago, Perdana Menteri Najib Razak perlu menunjukkan kepimpinannya.
Saya kira kepimpinan Malaysia dalam mengendalikan isu pelarian Rohingya
bersama negara Asean, khususnya Thailand dan Indonesia akan menjadi kayu
ukur keberkesanan kepimpinan Malaysia secara amnya dan relevan
pertubuhan Asean itu sendiri.
Kepimpinan bukanlah setakat kehebatan menganjurkan acara sidang kemuncak
Asean yang baru sahaja berlangsung April lalu. Kepimpinan perlu diuji
dan dibuktikan, bukan setakat disolek dengan dokumen berisi janji manis
dan harapan palsu.
Di sebalik krisis kemanusiaan para pelarian Rohingya ini, kita perlu
menilai pelaksanaan disebalik kononnya semangat Deklarasi Kuala Lumpur
mengenai Asean Berorientasikan Rakyat, Berpaksikan Rakyat.
Saya tahu, isu Rohingya buat umat Melayu Islam masakini agak kurang
sensasinya berbanding perang Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak,
ataupun pergolakan kepimpinan dalam PAS.
Namun
demikian, inilah waktunya – tanpa melupakan persaingan kuasa dalam
teras organisasi masing-masing – untuk kita rakyat Malaysia menunjukkan
jiwa kemanusiaan, menghulurkan salam silahtuhrahim, menyambut
saudara-saudara warga baru kita – untuk berkongsi kemakmuran insan dan
tanah air.
Jikalau umat Melayu Islam Malaysia sudi menerima Azeez sebagai pengerusi
Tabung Haji, atau Jho Low sebagai penasihat keputusan penting 1MDB,
atau Apco untuk kerajaan Malaysia, kenapa tidak para muhajirin Rohingya
ini?
Apakah persaudaraan insan ada batas sempadannya? Di mana-mana pun, kita
masih manusia di bumi yang sama, berhak mendapat haknya yang paling
asasi.
Wahai peri kemanusiaan, saya tahu saya bermimpi, tetapi mimpi inilah yang menghidupkan saya.
Seperti mutiara kata Mahatma Ghandi: "Di tengah-tengah kematian
kehidupan berterusan, dalam penipuan kebenaran akan tetap tertegak,
dalam kegelapan, cahaya terus menerangi"- .malaysiakini
No comments:
Post a Comment