MALAYSIAKINI
Sejumlah RM1.689 bilion diperoleh daripada pelaksanaan GST yang
dikenakan ke atas barangan import setakat 10 Mei lepas, kata Timbalan
Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
"Data ini diketahui awal sebab bayaran dibuat sebelum barang-barang
import dilepaskan dari kawalan Kastam di pelabuhan, sempadan dan
lapangan terbang," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih belum boleh menyatakan anggaran
pendapatan terkini bagi tempoh pelaksanaan GST sejak 1 April lepas
kerana data berkaitan belum diterima sepenuhnya oleh Jabatan Kastam.
Katanya
tempoh penyerahan data kepada pihak Kastam bagi perniagaan
berpendapatan tahunan melebihi RM5 juta adalah pada atau sebelum hari
terakhir bulan berikutnya iaitu 1 hingga 31 Mei 2015.
"Pada 1 Jun ini barulah pihak Kastam dapat menyatakan berapakah hasil
kutipan GST bagi bulan pertama pelaksanaannya, manakala bagi perniagaan
berpendapatan kurang RM5 juta, mereka perlu menghantar data untuk tempoh
tiga bulan.
"Contohnya hasil GST bagi April, Mei dan Jun, datanya perlu dihantar
pada 1 hingga 31 Julai 2015 dan pada 1 Ogos barulah Kastam tahu jumlah
hasil itu dengan tepat," katanya ketika menjawab soalan Dr Lee Boon Chye
(PKR-Gopeng).
Lee meminta kerajaan menyatakan jumlah hasil terkini daripada GST selepas sebulan lebih sistem percukaian itu dilaksanakan.
Ahmad berkata, semua transaksi berkaitan penghantaran data boleh
dilakukan secara atas talian, manakala bagi tujuan pembayaran ia juga
boleh dibuat secara atas talian atau manual dengan menggunakan cek.
Dalam pada itu, beliau berkata anggaran hasil daripada GST sebanyak
RM23.2 bilion, seperti yang dinyatakan sebelum ini adalah tidak termasuk
penolakan hasil ke atas beberapa barangan yang baru diberikan kadar
sifar, seperti minyak RON 95, gas petroleum cecair (LPG), diesel dan
tambahan senarai ubat-ubatan serta alat bantuan orang kelainan upaya
(OKU).- Bernama
No comments:
Post a Comment