shahbudindotcom
Setelah
berbulan-bulan berdepan kritikan berterusan mengenai pelbagai
kepincangan dalam pentadbirannya daripada bekas Perdana Menteri Tun
Mahathir Mohamad, barangkali kerana semalam adalah hari minggu yang agak
lapang baginya, Najib Razak akhirnya meluangkan masa menjawab 13
dakwaan yang kerap dibangkitkan terhadapnya.
Antara
yang dijawabnya ialah mengenai pembunuhan Altantuya, 1MDB, pembelian
jet, kemungkinan BN kalah dalam pilihanraya akan datang, prestasinya
lebih buruk berbanding Tun Abdullah, BR1M, Jambatan Bengkok dan
sebagainya lagi.
Persoalan dan jawapan itu dimuatnaik dalam blog NajibRazak.com miliknya.
Mengenai
Altantuya, Najib nampaknya mengulangi fakta lama dengan mengatakan
proses mahkamah untuk kes itu sudah pun berakhir, manakala beliau pula
sudah disahkan tidak terbabit sama-sekali, selain telah bersumpah laknat
menafikan mengenali wanita Mongolia terbabit.
Perdana
Menteri seakan-akan menempelak Tun Mahathir dengan bertanya, kenapa
persoalan ini hanya diperkatakan sekarang dan bukannya lapan tahun
lalu?
Dalam hal ini, pertanyaan bekas Perdana Menteri kepada Najib hanyalah mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan itu.
Tentang
1MDB juga, Najib sekali lagi meminta semua pihak menunggu hasil
siasatan audit yang sedang dijalankan ketika ini. Misteri hutang
setinggi RM42 bilion dan ke mana hilangnya RM27 dalam syarikat pelaburan
itu yang merupakan antara asas kritikan Tun Mahathir, langsung tidak
disentuhnya.
Begitu
juga mengenai peranan dan penglibatan Jho Low dalam beberapa pelaburan
1MDB di luar negara, turut tidak dijawab oleh Najib. Berdoalah kita
siang malam mudah-mudahan laporan audit nanti menemui nama Jho Low dalam
siasatannya!
Berkaitan
pembelian jet baru di ketika hutang negara terus meningkat dan rakyat
baru dibebankan dengan GST, Najib mengatakan ia sebagai keperluan untuk
kecekapan kerja, termasuk mengadakan mesyuarat di atas pesawat serta ia
juga merupakan amalan standard pemimpin lain di dunia.
Katanya,
dengan adanya pesawat itu, mesyuarat dan perbincangan boleh diadakan di
atas kapal dan urusan negara boleh berjalan terus walaupun semasa
penerbangan.
Hakikat
bahawa negara sudah memiliki sekurang-kurangnya enam jet dan kos
diperkatakan ramai lebih mahal iaitu hampir RM500 juta untuk pembelian
jet baru ini juga dipandang sepi oleh Najib dalam jawapannya.
Cumanya,
harapan rakyat Malaysia selepas ini ialah agar Najib tidak lagi pulang
dengan pengangkutan awam apabila ada tugas kecemasan dalam negara dan
meninggalkan jetnya bergentayangan di luar negara digunakan oleh orang
lain?
Mengenai
kemungkinan BN akan kalah pula, Najib mempertahankan keyakinannya BN
akan terus kekal sebagai pemegang kuasa selagi semua pihak memberikan
sokongan penuh kepadanya dan tidak berbalah sesama sendiri.
"Kalau
kita tumpukan kepada politik yang membina, bukannya yang menghancurkan,
kita akan berjaya," katanya yang jelas dilihat sebagai menyindir Tun
Mahathir.
Dalam
masa yang sama, Najib juga berhujah bahawa prestasi UMNO di bawah
kepimpinannya dalam memenangi pilihanraya adalah lebih baik berbanding
ketika pemerintahan Tun Abdullah.
Hujahnya
ialah berdasarkan jumlah kerusi kemenangan UMNO pada PRU 13 lebih
tinggi berbanding PRU 12 serta kejayaan merampas Kedah, mengekalkan
kuasa di Terengganu dan mengukuhkan kedudukan di Perak.
Malangnya
Najib langsung tidak menyentuh jumlah kerusi kemenangan BN yang merosot
tujuh kerusi daripada 140 kepada 133 di bawah kepimpinannya dan undi
popular BN hanya sekitar 47 peratus saja yang mampu diraihnya.
Lebih
dari itu, Najib juga mengenepikan fakta bahawa beliau adalah
satu-satunya Perdana Menteri yang pertama kali memimpin pilihanraya
tetapi gagal mendapat majoriti dua pertiga dan undi popular yang selesa
yang tentunya menggambarkan beliau tidak popular di kalangan rakyat
pelbagai peringkat.
Tun
Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah, ketika pertama kali
mengadakan pilihanraya umum sebaik mengambil alih teraju parti dan
negara, semuanya berjaya mendakap kemenangan dua pertiga dalam pelukan
masing-masing. Hanya Najib gagal memeluknya.
Najib
juga tidak menyentuh kewujudan pelbagai masalah dalam negara yang
berpunca daripada kelemahan kepimpinannya sekarang yang menjadikan
sokongan rakyat makin merudum dari semasa ke semasa. Keputusan di Rompin
dan Permatang Pauh tidak menyedarkan apa-apa kepada Najib.
Yang
barangkali tidak disedari Najib ialah apakah di sebalik pelbagai isu
yang melanda dirinya, petunjuk makin ketara sokongan kian terhakis,
sokongan boleh terus diberikan atau melanjutkan sokongan bermakna
menambahkan lagi kerosakan yang ada?
Satu
perkara yang Najib tidak sentuh langsung ialah mengenai karenah dan
masalah yang ditimbulkan oleh isterinya, Rosmah Mansor sedangkan ia
bukan saja menjadi percakapan paling popular di kalangan rakyat, bahkan
Tun Mahathir juga baru-baru ini mendakwanya berlagak seolah-olah Perdana
Menteri.
Kenapa ia tidak disentuh atau tidak berani disentuh hanya Najib yang mengetahui sebab-sebabnya.
Secara
keseluruhannya, termasuk isu-isu lain yang disentuhnya, jawapan Najib
ini hanya memperlihatkan beliau ada jawapan tetapi hakikatnya tidak
menjawab segala persoalan, baik yang ditanyakan oleh Tun Mahahir,
mahupun yang bermain-main di fikiran rakyat.
No comments:
Post a Comment