KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk media diminta menghentikan sebarang
spekulasi mengenai kes kemalangan yang mengakibatkan tiga kematian
termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan, di Lebuhraya DUKE,
kelmarin.
Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata
kenyataan yang tidak tepat mengenai insiden itu boleh menjejaskan
siasatan polis dalam usaha mendapatkan kebenaran.
Dalam kenyataan semalam, beliau memberi jaminan bahawa siasatan akan
dijalankan secara telus tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.
"Pihak yang didapati cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku akan tetap dibawa ke mahkamah untuk didakwa," katanya.
Mohd Fuad berkata polis telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun
dan seorang perempuan berumur 35 tahun susulan kemalangan maut itu.
Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata kedua-dua individu yang ditahan
telah dibebaskan dengan jaminan polis dan dikehendaki melaporkan diri
semula ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dalam masa dua minggu ini.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987 dan menggesa orang ramai yang menyaksikan
kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan polis.
Kelmarin, sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh
bulan maut dalam nahas kira-kira pukul 1.05 pagi membabitkan tiga
kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya DUKE.
Pasangan itu ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.
Siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan Mitsubishi Pajero yang dipandu Fairuz Nizam dan dua Perodua Myvi.
No comments:
Post a Comment