Oleh SUBKY LATIF
Polis sepatutnya bincang dulu tentang pembelian tanah itu ada unsur skandal dan adakah jenayah dan penipuan. Cari dan tanya dulu pengerusi dan lain-lain pembesar Tabung Haji terutama mereka yang dikatakan adalah pengarah juga kepada 1MDB yang amat bermasalah sekarang.
Tidaklah kita hendak mengajar polis tetapi orang lihat polis seperti lebih suka mencari perkara yang senang apabila ia hendak memburu pembocor rahsia sulit dulu.
Mungkin menyiasat karenah pembesar Tabung Haji akan berdepan banyak hantu raya, tetapi memburu pembocor maklumat tak ada apa-apa risiko. Bertindak pun senang.
Dengan kecekapan polis kita, tidak susah mencekup pembocor dokumen dan polis dikira berpuas hati dapat bertindak dan menyelesaikan kes pembocoran itu.
Jika ini yang polis lakukan bererti ia mencari kesalahan yang kecil dan tidak mendahulukan pokok segala penyelewengan.
Orang boleh kata, tindakan polis yang demikian sama seperti tindakan Raja Singapura semasa dilanggar todak dulu. Kita tidak pasti apakah benar todak pernah melanggar Singapura. Hanya Singapura ada pengalaman itu. Tiada di mana-mana sebelum dan selepas itu ada kejadian itu.
Tidak kira cerita itu benar atau sekadar rekaan, tetapi cerita itu bermoral tinggi. Apabila todak menyerang, Raja hanya perintah sekalian berkubukan betis. Todak bukan tuju betis saja. Habis perut, dada, peha dan muka yang bertahan itu jadi sasaran.
Raja sepatutnya perintah semua lari ke darat. Todak itu tidak akan kejar mangsa begitu jauh dari pantai. Todak itu logiknya hanya terbang dari laut ke pantai. Apabila jatuh di pantai, ia tidak terdaya melompat dan terbang lagi.
Melihat masyarakat Singapura tak berotak itu, bagi mengelak lebih ramai mangsa, seorang kanak-kanak suruh semua cari batang pisang, lalu habis todak itu tersangkut pada batang pisang.
Maka selamatlah sekalian daripada serangan todak itu. Tetapi pembesar-pembesar Singapura tidak mengira jasa besar kanak-kanak yang dapat menyelamat jiwa dan rakyat singapura sebagai satu rahmat besar dari Tuhan Seru Sekalian Alam.
Kanak-kanak itu sepatut diberi peluang menuntut apa jua ilmu supaya otaknya lebih bergeliga dan kemudian dapat memberi sumbangan besar kepada masyarakat. Mereka tidak beri apa-apa hadiah kepada ibu bapanya tetapi mereka pesona Raja dengan fitnah, jika dibiarkan kanak-kanak pintar ini besar dan dewasa, nanti habis Raja dan pembesar diperdayanya.
Raja pun bodoh macam rakyatnya juga bersetuju membunuh kanak-kanak itu supaya dia tidak dapat lagi menggunakan otaknya utuk menyelamatkan rakyat dan Singapura.
Pembocor dokumen beli tanah Tabung Haji itu mungkin jahat tetapi dia boleh menyelamatkan harta Tabung Haji daripada sekalian singa lapar. Jika polis terus kejar dia, maka kerja polis itu dikira sama dengan Raja Singapura membunuh kanak-kanak yang menyelamatkan orang jadi mangsa todak.
Janganlah polis jadi macam mata-mata Temenggung Melaka dulu, kerjanya memburu orang yang tidak disukai oleh Temenggung.-Harakahdaily
No comments:
Post a Comment