Oleh ROY RASUL
SATU-SATUNYA institusi kewangan yang menjadi kebanggaan umat Islam negara ini tidak lain tidak bukan adalah Tabung Haji.Berdiri megah di kawasan segi tiga emas, menaranya yang terletak di Jalan Tun Razak cukup indah dipandang.
Pastinya sejuk mata setiap umat Islam yang lalu-lalang di hadapan Menara Tabung Haji atau TH yang mempunyai ketinggian 152 meter itu tertera pula perkataan Allah dan Muhammad di puncak menaranya.
Tabung Haji yang sudah tidak asing lagi bagi umat Islam negara ini banyak membantu umat Islam negara ini baik di desa mahupun di kota untuk mengerjakan rukun Islam kelima.
Realitinya Tabung Haji, berperanan menguruskan perjalanan jemaah haji ke tanah suci Makkah pada setiap tahun.
Antara tujuan utama Tabung Haji ditubuhkan untuk membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardu haji atau lainlain perbelanjaan bermanfaat secara halal.
Justeru, tidak pelik dengan penuh kepercayaan hampir setiap orang Islam menabung dalam Tabung Haji dengan niat yang satu, menunaikan haji.
Kata pepatah Melayu, sikit-sikit lama-lama menjadi bukit.
Ini kerana Tabung Haji premis yang paling selamat untuk disimpankan duit mereka sekalipun kemampuannya hanya RM20 sebulan termasuk penoreh getah nun jauh di pedalaman Baling, Kedah.
Namun dalam membilang hari untuk menjejak kaki ke tanah suci itu, tiba-tiba seluruh pendeposit Tabung Haji termasuk ‘pak cik’ dan ‘mak cik’ di kampung bagai disentap apabila tersebarnya berita pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Tabung Haji awal Mei lalu.
Sekalipun mungkin ada di kalangan penabung buta tentang apa itu 1MDB, mereka tetap hamburkan kemarahan, apa yang dilakukan Tabung Haji.
“Harapan rakyat Malaysia akan musnah untuk melihat institusi kewangan yang membolehkan mereka menunaikan Rukun Islam ke-5 berdiri teguh ,jika pembelian tanah 1MDB diteruskan oleh Tabung Haji,” ulas Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat, Normala Sudirman kepada Harakah, 12 Mei lalu.
Beliau sendiri sebagai pencarum dan pengguna perkhidmatan Tabung Haji, berasa kecewa apabila satu badan yang diamanahkan menjaga dan menguruskan kewangan untuk mengerjakan haji seolah-olah digunakan sebagai bailout kepada 1MDB.
Dakwanya kos pembelian tanah lebih kurang RM4 juta sedangkan dijual kepada Tabung Haji harganya mencecah 188.5 juta untuk tanah seluas 1.56 hektar.
Isu 1MDB yang bermasalah katanya, bermain di fikiran rakyat dan pembelian tanah itu tidak masuk akal.
“Kami menegur ini kerana sayangkan Tabung Haji. Pencarum kebanyakannya penoreh getah petani, nelayan dan orang susah tetapi kesungguhan untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima sangat tinggi menyebabkan mereka kecewa bila mendengar khabar ini.
“Ini bukan soal kecil. Ini melibatkan kepentingan institusi yang menjaga kebajikan umat Islam,” katanya.
Baginya sebagai pengguna perkhidmatan Tabung Haji, rakyat berhak bersuara menegur dan menyatakan pandangan.
Tambahan pula, hampir seluruh umat Islam di Malaysia dari usia kecil hingga dewasa digalakkan menabung dalam institusi ini tetapi pintanya jangan dikhianati kepercayaan rakyat.
Apa lagi Tabung Haji cukup dekat di hati umat Islam. Katanya, sama ada sedikit atau banyak mereka tetap menyenaraikan nama sebagai pencarum Tabung Haji.
Oleh itu, pihak bertanggungjawab perlu menyelamatkan kesucian institusi kewangan umat Islam daripada dicemari tangan-tangan pembuat keputusan tersebut.
Malah keputusan menjual semula tanah berkeluasan 0.63 hektar di Pusat Kewangan Tun TRX dengan jangkaan keuntungan hampir tiga kali ganda sebagaimana dikatakan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak untuk menghormati sensitiviti orang ramai terutama pencarum masih dipertikaikan semua pihak.
Media baharu main peranan hangatkan isu
Lebih-lebih lagi kritikan masyarakat yang prihatin terhadap pembelian tersebut sudah menjadi viral di media baru.
Menurut Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa rakyat Malaysia kecewa dengan penjelasan Lembaga Tabung Haji yang disifatkan hanya satu pengesahan melaksanakan ‘tugas suci’ membayar RM188.5 juta kepada 1MDB.
Memetik laporan astroawani.com, 10 Mei lalu Husam berkata “Tidak ada pembatalan transaksi, tidak ada kekesalan dan permohonan maaf.
“Bahkan tidak ada penjelasan kenapa bayaran penuh dilunaskan pada masa perjanjian jual beli itu dimeterai dan bayaran yang begitu tinggi diluluskan.
“Juga isu lain yang terdapat dalam dokumen yang dibocorkan,” katanya dipetik.
Bahkan bidasnya, penjelasan Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung perkara itu hanya menambah luka di hati rakyat.
Atas pembongkaran blog The Benchmark itu juga mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut bersuara supaya Tabung Haji batalkan pembelian tanah tersebut serta-merta.
Penegasan Mahathir, wang pencarum yang digunakan bukan kepunyaan Tabung Haji. Tidak tutup dengan suara Mahathir bahkan banyak pihak menyuarakan kebimbangan.
Sebagaimana dilaporkan media, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong kenyataan Pemuda Umno yang mahukan Kementerian Kewangan dan Tabung Haji memberi penjelasan berhubung pembelian tanah tersebut daripada 1MDB.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir juga mempertikaikan pembelian hartanah milik 1MDB itu terlalu mahal.
Selain itu, Ahli Majlis Tertingi Umno, Dato’ Tajuddin Abdul Rahman juga dilaporkan menyatakan kebimbangan terhadap kontroversi 1MDB dan isu pembelian tanah syarikat itu oleh Tabung Haji.
Itu belum lagi di pihak orang perseorangan, parti lawan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), bukan sahaja buat laporan polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia bahkan ada yang bertindak mengeluarkan wang simpanan.
Tindakan itu sebagai bantahan keras mereka terhadap Tabung Haji.
Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan berkata, satu laporan terhadap Tabung Haji, 1MDB dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menyiasat segala bentuk urus niaga yang dibuat oleh 1MDB dan TH.
“Kami mahu kembalikan Tabung Haji ke landasan sebenar di mana kepercayaan terhadapnya dijaga dengan baik,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Tabung Haji, 12 Mei lalu.
PAS juga tidak terkecuali mengetuai para pencarum membuat laporan polis di atas pembelian kontroversi oleh Tabung Haji itu.
Ini dapat disaksikan pada 14 Mei lalu, apabila PAS Perak mengiringi para pencarum di setiap daerah membuat laporan polis Manakala Parti KeADILan Rakyat yang diketuai Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Nik Nazmi Ahmad dengan memfailkan laporan tersebut di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas kebangkitan umat Islam tidak kira secara diam atau terus menghantar bantahan kepada pihak berkuasa menggambarkan betapa kecewanya mereka.
Kekecewaan itu diterjemahkan dalam bantahan yang bersungguhsungguh oleh rakyat yang sayangkan Tabung Haji.
No comments:
Post a Comment