Pembinaan terusan Segenting Kra yang
memendekkan laluan dari Selat Melaka dengan Laut China Selatan akan
memberi kesan kepada pelabuhan di negara ini.
PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia akan terancam sekiranya cadangan pembinaan terusa di Segenting Kra, Thailand menjadi kenyataan.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin At-Takiri berkata, cadangan pembinaan terusan di Segenting Kra sepanjang 102 kilometer itu bakal menyebabkan Pelabuhan Klang dipinggirkan.
“Jika terusan Segenting Kra benar-benar dibina, ia bakal menghubungkan secara terus negara-negara seperti Jepun dan China dengan negara-negara Timur Tengah dan Afrika tanpa lagi melalui Selat Melaka, justeru bakal memberi kesan yang ketara kepada Pelabuhan Kelang dan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media.
Pada 16 Mei lalu, portal China Daily Mail melaporkan satu memorandum kerjasama telah ditandatangani bersama oleh pelbagai pengusaha perniagaan di Guangzhou, China untuk membina sebuah terusan sepanjang 102 kilometer dengan kelebaran 400 meter dan kedalaman 25 meter di Segenting Kra, Thailand.
Sebelum itu, portal yang sama pada 16 Mac 2014 telah menjelaskan kewajaran China yang memerlukan laluan alternatif dengan pembinaan terusan di Segenting Kra kerana laluan perdagangan ke Lautan Hindi melalui Selat Melaka mempunyai masalah lanun, bangkai kapal, jerebu, mendapan dan beting.
Kadar kemalangan di Selat Melaka pula dilaporkan dua kali lebih tinggi berbanding di Terusan Suez dan empat kali lebih tinggi berbanding di Terusan Panama.
Khairuddin berkata, walaupun ketepatan laporan itu boleh dipersoalkan namun kesannya kepada Malaysia amat membimbangkan, jika ia menjadi kenyataan.
“Apakah persiapan negara dan usaha-usaha yang dilakukan kerajaan dalam menghadapi perubahan laluan perdagangan antarabangsa ini? Projek ini tentu menguntungkan Thailand dan China terutamanya namun apakah pula kesannya kepada negara?” katanya.
Katanya, Selat Melaka sebagai jalan penghubung laut utama dan pernah cuba dikuasai Amerika Syarikat, China, Jepun dan India kerana kedudukannya yang strategik.
Jepun mengimport hampir 80% bekalan minyaknya dari Asia Barat melalui Selat Melaka manakala China pula lebih 60 peratus.
Khairuddin berkata, dianggarkan lebih 60,000 buah kapal berlayar melintasi selat ini pada setiap tahun dan perdagangan di selat itu pula ialah antara AS$84 bilion hingga AS$250 bilion setahun.
No comments:
Post a Comment