OLEH YASMIN RAMLAN
Proses bagi membolehkan golongan
orang kurang upaya (OKU) dikecualikan cukai barang dan perkhidmatan
(GST) bagi peralatan dan kelengkapan mereka dianggap sesuatu yang rumit
dan membebankan, menurut Persatuan Damai OKU Malaysia.
Presidennya, V. Murugeswaran, berkata proses yang memerlukan golongan
OKU mengemukakan sijil perakuan ditandatangani ketua organisasi
pertubuhan amal swasta, yang mesti berdaftar dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM), memakan masa yang lama untuk diproses, dan membebankan
mereka ekoran keadaan fizikal mereka.
"Ini memang satu proses yang menyusahkan. Mereka (kerajaan) kena faham.
OKU ini juga tengok keadaan, kalau dia tak ada pengangkutan sendiri,
dia terpaksa meminta bantuan orang, dan kadang-kadang orang pun bukan
selalu nak tolong," katanya.
Murugeswaran yang lumpuh kedua-dua belah kaki berkata, disebabkan
kerumitan prosedur tersebut, golongan OKU terpaksa memilih membayar
dengan harga biasa di pasaran.
"Perkara seperti ini,
kalau kita menyusahkan orang lain semata-mata
untuk mendapatkan kelepasan itu, lebih baik kami bayar GST daripada
melalui proses yang begitu susah untuk mendapatkannya.
"Sebab, proses itu sendiri akan membuatkan kami membayar lebih dari
segi kos pengangkutan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, peralatan dan kelengkapan yang diberikan pengecualian
cukai itu merupakan barangan yang boleh digunakan pada jangka masa yang
lama dan tidak banyak meringankan beban mereka yang berpendapatan
rendah.
"Saya seorang OKU yang menggunakan kerusi roda. Jika saya belinya hari
ini, mungkin boleh guna sepanjang umur kalau saya jaganya dengan baik.
"GST ini pelepasannya barang-barang seperti ini saja. Bagaimana dengan kegunaan harian OKU yang tidak dikecualikan?
"Seperti barang-barang OKU yang mengalami kecederaan spinal, mereka
memerlukan lampin untuk kegunaan harian kerana mereka mengalami hilang
daya untuk buang air kecil dan air besar.
"Jadi barang-barang ini mereka perlu beli pada setiap bulan. Jadi saya
nak tanya adakah barang-barang ini dikecualikan daripada GST?" soalnya.
Pada masa sama, Murugeswaran berkata, kerajaan memperuntukkan RM300
setiap bulan kepada golongan OKU berpendapatan rendah, namun sekiranya
barang harian lain tetap dikenakan GST, wang itu seolah-olah diambil
semula kerajaan.
"Banyak keperluan asas untuk golongan OKU ini belum capai di tahap yang memuaskan.
"OKU ini bukan golongan kategori yang berpendapatan tinggi tapi rakyat berpendapatan paling rendah.
"Kerajaan kaya tetapi OKU macam kami ini miskin. Saya nak minta Jabatan
Kastam jangan berdiam diri sampai OKU ini merana, baru nak tolong.
"Saya nak mereka buat perjumpaan dengan OKU lebih kerap. Dengan memberi
kenyataan media sahaja tidak menyelesaikan masalah," katanya.
Keluhan sama dibuat pengurus Pusat Jagaan OKU Nur di Kuala Lumpur,
Normah Adlan, yang merasakan prosedur yang ditetapkan kastam itu akan
memakan masa panjang.
Normah berkata prosedur tersebut menyusahkan dan membuatkan golongan
OKU atau penjaga berputus asa untuk meneruskan permohonan bagi
mendapatkan potongan separuh harga bagi kerusi roda untuk penduduk di
rumah jagaannya.
"Pelbagai prosedur yang ditetapkan membuatkan kami putus asa. Kena
mohon banyak kali baru dapat dan pihak JKM (Jabatan Kebajikan
Masyarakat) akan meminta kami tunggu untuk jawapan status permohonan,"
kata Normah.
Beliau memberi contoh pembelian kerusi roda, yang terpaksa melalui prosedur yang "leceh" bagi mendapatkan separuh harga.
"Akhirnya saya belikan terus untuk mereka (warga OKU di pusat
jagaannya)," katanya, yang berkata kerusi roda paling murah berharga
RM600.
Katanya, pelbagai proses demikian turut membebankan penjaga golongan OKU.
"Kita yang menjaga dia, rasa susah juga sebab kena angkat mereka, kena hantar mereka pergi hospital, sana sini dan lain-lain.
"Bukan golongan OKU sahaja susah tapi orang bukan OKU pun susah," kata
Normah, yang berkata 90% daripada 50 orang di pusat jagaannya merupakan
golongan OKU.
Isnin lalu, Pengarah GST Jabatan Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy
mengumumkan pelepasan cukai itu dan menjelaskan walaupun golongan OKU
mempunyai kad OKU yang sah, mereka masih perlu mendapatkan sijil
perakuan ditandatangani ketua organisasi yang berkaitan.
Menurut perintah itu, barangan yang diberikan pengecualian cukai adalah
anggota badan tiruan, kerusi roda, tempat tidur elektrik atau
penyesuian mekanikal yang direka untuk yang kurang upaya daripada segi
fizikal dan bahan Braille.
Antara keperluan lain ialah teks telefon untuk orang cacat pertuturan,
cawan khas dan tongkat putih untuk cacat penglihatan, kasut khusus dan
alat bantuan pendengaran dan penglihatan.
Namun pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han
berkata, ramai golongan OKU yang tidak jelas barangan yang dikecualikan
dan diberi pelepasan GST.
Ng juga mempertikaikan prosedur kastam itu dan menganggap ia sesuatu yang membebankan mereka.
"Kenapa proses itu merumitkan? Ramai lagi individu kurang upaya yang
bukan daripada ahli organisasi OKU yang berdaftar dengan JKM,
terutamanya mereka yang berada di kawasan pendalaman."
Beliau berkata, pihak kastam tidak boleh mengharapkan individu yang
mempunyai kesukaran bergerak boleh pergi ke sesuatu tempat, semata-mata
bagi mendapatkan pengesahan dokumen
No comments:
Post a Comment