Friday, May 8, 2015

MAS siasat video gaduh pekerjanya dengan penumpang

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) sedang menyiasat pergaduhan di antara pegawai khidmat pelanggan MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan sekumpulan penumpang dipercayai warganegara India, selepas rakaman video insiden itu tersebar luas di media sosial.

"Malaysia Airlines melihat perkara ini dengan serius dan siasatan dalaman akan dilakukan.
 
"Syarikat mementingkan tingkah laku pekerjanya, tetapi syarikat juga tidak akan membiarkan kelakuan kasar oleh penumpang," kata MAS dalam kenyataannya.
 
Video berdurasi seminit setengah itu dirakam pada 1 Mei lalu, menunjukkan sekumpulan penumpang bertikam lidah dengan seorang pegawai khidmat pelanggan MAS.
 
Menjelaskan punca insiden itu, MAS berkata masalah teknikal pesawat menyebabkan ia memindahkan penumpang yang pada mulanya dalam penerbangan MH616 dari Singapura ke Kuala Lumpur ke penerbangan lebih lewat.
 
Ini menyebabkan 30 daripada mereka terlepas penerbangan sambungan mereka dari KLIA.
 
Bagaimanapun, penumpang menuntut mereka diletakkan ke dalam penerbangan sambungan ke Hyderabad dan Bangalore, yang sudah pun berlepas pada waktu itu.
 
MAS berkata halangan visa menyebabkan tuntutan supaya dipindahkan ke penerbangan lain ke destinasi mereka tidak dapat dipenuhi.
 
Klip video itu antara lain menunjukkan salah seorang petugas MAS naik berang selepas diasak pertanyaan oleh penumpang.
 
"Shut up! One by one! (Diam, satu persatu)" teriaknya kepada penumpang, sebelum terus meninggalkan kaunter.
 
Seorang lagi yang mengambil tempat beliau kemudian cuba menenteramkan keadaan, tetapi nada suaranya tidak disenangi penumpang.
 
Rakaman insiden itu mengundang pelbagai komen dan kritikan pengguna media sosial, sebahagian besarnya tertumpu kepada masalah yang dialami syarikat penerbangan itu sejak mengalami kerugian dan penyusunan semula oleh pemilik baharunya, Khazanah Nasional, tahun lepas.
 
"Menuding jari ke arah penumpang, khidmat pelanggan yang mengejutkan," kata Sumathy Sumelingam dalam Facebook, disusuli dengan seorang lagi yang berkata pekerja MAS itu mungkin diprovokasi.
 
"Di samping melelong pesawatnya, mungkin perlu melelong staf yang angkuh," kata seorang lagi, merujuk laporan syarikat itu merancang menjual beberapa pesawat bagi mengatasi kerugian.
 
Tahun lepas, syarikat penerbangan negara itu mengalami 2 tragedi yang menambah lagi beban kerugian. Pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac, 2014 masih belum ditemui, dan beberapa bulan kemudian, penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara Ukraine, menyebabkan semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.
 
 

No comments: