Oleh H FANSURI
PETANG 30 April sekitar 6:30 petang, sehari sebelum demonstrasi bantah GST tanggal 1 Mei, saya ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Di sana, kebanyakan tempat dagangan buku sudah mula ditutup.
Memang ia ditutup lebih awal. Dan, menurut para pekerja di situ, segala urusan dagangan akan berakhir menjelang Maghrib.“Hari ini tutup jam 7 petang,” kata seorang pemuda. “Kebiasaannya sebelum ini, kami berurusan sehingga jam 9 malam.”
Petang itu, di atas pentas, berdekatan ruang legar aras bawah, sekumpulan warga Arab Saudi sedang bermainmain sayembara dengan hadirin. Entah permainan apa? Ia mungkin teka-teki yang menyeronokkan. Dan tenggelamlah segala pertanyaan mengenai kerosakan yang dicetuskan Raja Salman terhadap Yaman. Kaburlah pandangan setiap orang untuk bertanyakan soalan berhubung tujuan serangan tersebut dilakukan.
“Kata pesta mungkin mempengaruhi fikiran revolusioner untuk tidak melakukan perubahan dan penggulingan,” berdesis hati ini. “Adakah pesta buku yang dirancang oleh Umno Apco ini akan membuat setiap ahli masyarakat semakin cerah pemikirannya?”
Merujuk Kamus Dewan DBP, kata ‘pesta’ ini dikaitkan dengan makna, “Majlis bersuka ria dengan mengadakan makan minum (tari-menari dan lain-lain).” Selain itu, ia dihubungkan dengan main pesta pantai yang dirujuk sebagai acara bersuka-sukaan di pantai yang disertai dengan beberapa pertunjukan dan hiburan.
Makna pesta dan contohcontoh ayat
Berikut dibariskan beberapa makna pesta dan contoh ayat yang berkaitan dengannya, merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. Makna pesta adalah...
1. Peristiwa yang kelihatan, pertunjukan, tontonan: Contoh ayat, “Beliau akan menyampaikan hadiah kepada yang berjaya pada akhir PESTA sukan tersebut.”
2. Pemandangan yang menarik hati, keindahan alam: Contoh ayat, “Baginda belayar mengembara ke sebelah barat melihat PESTA negerinegeri orang; bertemasya pergi mengembara untuk menghiburkan hati (melihat-lihat pemandangan yang indah-indah dan lain-lain).”
3. Kerja dan sebagainya menjamu (bersuka ria dan lain-lain) untuk merayakan sesuatu peristiwa, perayaan: Contoh ayat, “Dia selalu pergi menghadiri PESTA jamuan yang diadakan.”
‘pesta lagu’ ~ Pertandingan lagu yang mempersembahkan pelbagai tema dan irama muzik (seperti jaz, rap, dan lain-lain).
‘pesta makanan’ ~ Kegiatan memperkenal, menghidang, dan menjual pelbagai rencah resipi masakan yang beraneka rasa (seperti masakan pedas, manis, masin, dan lain-lain).
‘pesta ria’ ~ acara keramaian untuk bersuka ria yang diadakan di tempat lapang dan sebagainya, biasanya disertai berbagai bagai aktiviti lain seperti pertunjukan, hiburan, jual beli, permainan dan sebagainya; berpesta, berpesta-pesta bersuka ria (dengan makan-makan, berdansa, dan lain-lain).
“Mereka PESTA RIA sahaja selepas kejayaan itu.” ‘pesta pora’ ~ berpesta besar (mengadakan perayaan besarbesaran dengan makan minum dan lain-lain).
‘pesta-pestaan’ ~ perihal berseronok-seronok (bersuka ria). “Kebudayaan itu adalah suatu yang serius, bukan sekadar riuh-rendah PESTA-PESTAAN.”
Pesta, ‘fiesta’ dan amalan kesyirikan
Ada kemungkinan kata ‘pesta’ berasal daripada ‘fiesta’. Menurut Wikipedia, ‘fiesta’ (Sepanyol) merujuk ‘festival’ dan ‘party’. Selain itu, kita pernah dengar perayaan ‘Oktoberfest’ (October Festival) di mana pengunjungnya meraikan minuman keras pada bulan Oktober.
Pendek kata, pesta sangat akrab kepada keseronokan dan hiburan. Selain itu, kita lihat kata ‘pesta’ dihubungkan dengan ‘Pesta Puja Pantai’.
Jadi pesta sangat akrab dengan hal kesyirikan dan khurafat.
Menurut Wikipedia, pesta ini turut dikenali sebagai ‘Menjamu Hantu Laut’, atau ‘Menyemah Pantai’. Ia adalah upacara yang dilakukan kaum petani dan nelayan Pantai Timur sebelum musim menangkap ikan.
Laporan Wikipedia seterusnya adalah seperti berikut, “...Seekor kerbau balar (putih) biasanya disembelih dan dihanyutkan ke laut bagi menenangkan semangat laut atau juga dikenali sebagai hantu air agar tidak membahayakan para nelayan ketika mereka menangkap ikan. Ia juga dikenali sebagi Temasya Mandi Safar di negeri lain, terutamanya di Melaka.
Pesta Puja Pantai ini biasanya berlangsung selama beberapa hari dan penduduk pelbagai kampung akan riuh-rendah mendirikan khemah dan pentas pelbagai permainan, terutamanya di pantai Batu Buruk.
“Perkhemahan di tepi laut ini dahulunya diadakan selepas musim menuai, sekitar Mac. Pesta Pantai ini pada asalnya diadakan bersama semangat memuja pantai dengan membuang semah (kepala kerbau) ke laut untuk mendapat restu hantu laut agar memudahkan usaha menangkap ikan.
Seorang pegawai kanan perikanan dari Jabatan Perikanan Negeri-Negeri Selat dan Pertempatan Melayu Persekutuan turut melaporkan bahawa ia turut dilakukan di Pulau Ketam pada 14 Januari 1936, yang menggunakan seekor kambing jantan sebagai bahan utama persembahan. Persembahan untuk pesta puja pantai ini termasuklah upacara menepung tawar, bertih, beras kunyit, kemenyan dan sebotol arak.
“Seekor kerbau balar (putih) berusia lebih kurang tiga tahun dikorbankan. Pada hari pertama diadakan upacara mengasap kemenyan dan alat-alat magik yang akan digunakan. Pada masa itu pawang membaca jampi mantera dan perkataan ‘Allah’ sering disebut.
“Ini diikuti oleh upacara melumur kerbau itu dengan air laut. Upacara diadakan pada hari kedua.
Kerbau disembelih pada waktu Maghrib hari ketiga. Dagingnya dimasak untuk jamuan mereka yang hadir sementara kepala dan kulitnya disumbat dengan sabut kelapa untuk memberi daya apung semasa dalam perjalanan sebaik sahaja ia dijahit.
Beberapa jenis teater, termasuk menora, mak yong dan wayang kulit, masing-masing diiringi dengan kumpulan muzik dipersembahkan sebagai sebahagian daripada pesta puja pantai ini. Pawang dan pembantu-pembantunya mempersembahkan sampan yang diperbuat daripada tepung beras, daun nipah dan bangkai kerbau tadi kepada penunggu laut. Mereka meluncurkan sampan tadi ke laut lepas.
Kemudian mereka kembali ke pantai dan ikut serta dalam majlis kenduri.
“Bagi nelayan di Mukim Beserah pula, lima batu dari timur laut Kuantan, pesta ini tidak diadakan selagi pawang atau orang kampung tidak bermimpi semangat laut yang mereka namakan jembalang laut meminta agar diadakan pesta ini. Di Kijal, pesta seperti ini diadakan di pantai Kemaman, dan berlangsung selama tiga hari...”
Syahadan kata ‘pesta’ yang dihubungkan kepada ‘pesta buku’ ini sangat tidak sesuai kerana banyak maknanya terheret ke arah hiburan, keseronokan, berfoya-foya dan maknanya boleh ditarik-tarik sehingga terjebak ke lembah kesyirikan dan amalan khurafat.
Namun, oleh kerana yang menajanya adalah Umno Apco (parti syirik dan khurafat) yang berpejabat di PWTC, maka kita pun sedia maklumlah kenapa hal ini berlaku.
Arakian, kalau kata ‘pesta’ itu tidak tepat, maka menurut fikiran saudara, perkataan apakah yang boleh menggantikan kata ‘pesta’ agar ia lebih sesuai dirujuk kepada kegiatan keilmuan itu? Bincangkan...
No comments:
Post a Comment