Hahasrin Hashim
JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Johor berpendirian bahawa presiden parti
perlu bertindak segera memperjelas dan menyelesaikan banyak isu
berbangkit dan yang terbaharu membabitkan pembelian tanah 1MBD oleh
Tabung Haji (TH).Ketua Pemudanya, Hahasrin Hashim menjelaskan mereka dihujani keluhan dan keresahan akar umbi akibat pelbagai isu yang terutamanya membabitkan tindakan TH yang dilihat cuba ‘menyelamatkan’ 1MDB yang semakin nazak.
Menurut beliau, sayap Pemuda sentiasa dahagakan penjelasan dan perlu bersuara agar Umno akan terus kekal relevan.
“Isu tekanan kos sara hidup akibat kegagalan pengurusan kawalan harga barang, polemik isu pengurusan 1MDB, isu GST yang umumnya bersetuju tentang kebaikannya tetapi pelaksanaan yang tidak tersusun, dan isu pembelian aset Tabung Haji perlu ditangani agar tidak terus menjadi persoalan yang tiada noktahnya.
“Keadaan ini tidak seharusnya berterusan kerana rakyat secara umum akan
terkesan dan tempiasnya juga akan dirasai Umno serta Barisan Nasional,”
katanya.
Hahasrin berkata, Pemuda Umno Johor tidak mahu parti itu ditolak rakyat
hanya atas sebab tindakan dan keputusan sesetengah pemimpin yang tidak
dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Kata beliau lagi, isu berbangkit ini melibatkan soal integriti
kepimpinan, kepercayaan dan sokongan rakyat kepada Umno dan kerajaan
hari ini.
“Sebagai seorang pemimpin yang telah diamanahkan oleh rakyat, amanah ini harus dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.
“Tiada makna jika segala dasar baik dan nikmat pembangunan ekonomi yang
selama ini Umno juarai tidak dapat dirasai oleh rakyat sebaliknya
menjadi punca liabiliti serta polemik kepada pentadbiran negara,"
ujarnya lagi.
Menurut Hahasrin lagi, Pemuda Umno Johor bersuara atas dasar
kebertanggungjawaban dan amanah yang diberi oleh masyarakat kepada
mereka sebagai pemimpin anak muda.
“Pemuda Umno Johor amat berharap agar suatu penyelesaian yang konkrit dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
“Kami percaya sebagai bapa, presiden tidak akan terus menerus membiarkan semua ini berterusan dan bertindak sebaiknya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional,” katanya.
No comments:
Post a Comment