Thursday, May 7, 2015

GST tak pilih kaum mana jadi mangsanya



Oleh RAYUSA 


UMNO terus cuba menunjukkan mereka menentang perkauman walaupun unsur itu yang tetap menjadi senjata utamanya setiap kali rasa tergugat. Mereka tetap cuba menjadi juara orang Melayu meskipun sejak sekian lama menjadi punca orang Melayu mundur.

Seolah-olah lupa dengan insiden gereja Taman Medan pada 19 April lalu yang menggugat keharmonian pelbagai agama dan kaum, Pemuda Umno membantah forum yang dijadualkan berlangsung di Kluang, 23 April lalu kerana mendakwa ia berbau “perkauman.”

Mengikut perancangan, forum mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta politik perkauman itu akan menampilkan empat Adun dari DAP sebagai penceramah, termasuk Wong Shu Qi (Senai), Tan Hong Ping (Mengkibol), dan Ee Chin Li (Tangkak).

Pada sebelah siang sebelum forum tersebut dijadualkan berlangsung, Ketua Pemuda Umno Kluang, Dato’ Khairul Anwar Rahmat mengatakan pergerakan itu mahu DAP menarik balik rancangan mengadakan sebarang perbincangan yang berbau perkauman.

Tegas Khairul Anwar, tiada masalah jika DAP mahu membincangkan soal GST, tetapi jangan mengaitkannya dengan soal perkauman. Perbezaan pandangan politik, tambahnya, tidak bermakna sentimen perkauman boleh dimainkan kerana itu akan mengganggu keharmonian.

Hal itu timbul selepas penganjur, kumpulan belia LayPark @ Kluang, mengadu menerima ancaman dari pihak yang tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp yang berkata mereka akan “buat kecoh” dalam forum itu jika ia tidak dibatalkan.

Walau bagaimanapun, Khairul Anwar berkata beliau akan hadir bagi memastikan demonstrasi terkawal.

Menurut Sheikh Omar Ali sebagai wakil penganjur, LayPark @ Kluang adalah inisiatifnya sendiri dan tiada kaitan dengan DAP walaupun dia ahli Pemuda DAP Johor dan pembantu ahli Parlimen Kluang (DAP), Liew Chin Tong.

Katanya, kumpulan itu akan meneruskan forum tersebut di sebuah restoran pada malam tersebut, dan tidak akan mengupah anggota keselamatan jika ada gangguan.

Namun begitu, forum tersebut akhirnya dibatalkan selepas penceramah mendapati tempat ia bakal diadakan gelap, serta ditutup dengan pita halangan berwarna merah dan putih.

Menurut penganjurnya, Sheikh Omar, Restoran Tepi Sungai Jamilah didapati ditutup apabila penceramah tiba sekitar jam 8.15 malam. Katanya, kira-kira 60 hingga 70 orang berada di sana dan separuh daripadanya adalah penyokong mereka, sementara yang lain dipercyai ahli Umno dan anggota polis.

Kata Sheikh Omar yang mewakili LayPark @ Kluang, dia mengesyaki kira-kira 30 yang hadir di situ adalah dari Pemuda Umno kerana “mereka kelihatan mencurigakan” dan “merenung pihak penganjur dengan cara yang pelik.” Khairul Anwar yang mendakwa akan menghadiri demonstrasi itu, tidak kelihatan.

Tambah Sheikh Omar, terdapat empat sekatan jalan di jalanjalan berbeza yang menghala ke restoran tersebut. Katanya, dia dan rakan-rakan lain dari Kluang jarang melihat sekatan jalan di situ dan pihak polis tidak memberitahu tujuan jalan tersebut disekat.

Ekoran pembatalan forum itu, Sheikh Omar menyalahkan Khairul Anwar yang menurutnya ‘tidak gentlemen’. Katanya, Pemuda Umno mahu membantah perkauman, tetapi tajuk forum adalah Anti-GST dan Politik Perkauman. Dia menegaskan, Pemuda Umno sepatutnya menyertai forum itu, bukan menghalang.

Memang pun. Memang tiada salahnya tajuk sedemikian. “Politik perkauman” bukan bermaksud mengajak kepada perkauman dan saling membenci. Masakan Pemuda Umno tidak memahami perkataan semudah itu hingga begitu mudah membuat tuduhan.

Difahamkan, restoran tersebut akhirnya dibuka semula pada jam 11.30 malam, tetapi ketika itu, pihak penganjur telah membuat keputusan untuk menangguhkan forum sehingga selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 7 Mei .

Mengenai dakwaan bahawa forum itu bersifat perkauman, Sheikh Omar meminta Umno menjelaskan apa sebenarnya yang menyinggung mereka. Adakah ia bersifat perkauman kerana tajuknya? Jika demikian, kata Sheikh Omar, “roti canai,” itu juga bersifat perkauman, kerana “roti canai” (boleh didapati) di gerai “mamak” dan di gerai orang India.

Tambah Sheikh Omar, jika kata “babi” pula, adakah ia akan menjadi perkauman kerana orang Cina memakannya?

Tidak mungkin forum tersebut akan menggalakkan perkauman. Ia hanya membincangkan perkara tersebut secara umum, dan dijangka memberi saranan agar politik perkauman ditolak sama sekali.

Yang penting sekarang adalah tekanan GST yang tidak mengira siapa dan dari kaum mana. Itu yang wajar disedari. Sepatutnya Pemuda Umno itu menyertai forum tersebut. Jika tidak berpuas hati juga dengan politik perkauman itu, mereka boleh meminta penganjur membuangnya daripada perbincangan.

No comments: