MALAYSIAKINI
Pemilihan Muktamar PAS kini tidak lagi menjadi agenda dalaman PAS semata mata.
Saya percaya ramai orang di luar PAS yang meneliti dengan mendalam
perkembangan PAS muktahir ini khususnya di dalam suasana kerancakan
"demam" muktamar PAS yang akan diadakan di awal Jun ini.
Pemilihan ini agak menarik kerana mungkin buat kali pertama PAS
menyaksikan wujudnya lebih satu pencalonan kepada calon Presiden PAS.
Dalam hal ini, kewujudan kerencaman pencalonan presiden tersebut
menunjukkan demokrasi dalam PAS masih wujud walau apa pun tanggapan
orang ramai terhadap PAS.
Secara tradisinya, seseorang pPresiden PAS biasanya tidak ditentang dan akan menang secara mudah dalam proses pemilihan.
Namun tradisi tersebut nampaknya kini sudah mula berubah dan ini
berkemungkinan berlaku disebabkan para ahli dan pimpinan PAS di
peringkat bawah sudah mula "berani" bersuara dan mahukan prinsip
pertanggunjawaban, ketelusan, pencapaian, integriti dan merit dijadikan
asas utama pemitlihan kepimpinan setinggi mana sekalipun jawatan yang
dipertandingkan.
Selain jawatan presiden, jawatan Timbalan presiden Pas berkemungkinan
juga akan dipertandingkan kali ini sebagaimana ia dipertandingkan dalam
muktamar PAS dua tahun yang lalu.
Memandangkan Perlembagaan PAS membenarkan mana-mana ahli PAS untuk
dicalonkan memegang apa apa jawatan setinggi mana pun jawatan itu dengan
syarat ahli ahli tersebut menerima pencalonan yang secukupnya untuk
bertanding.
Dalam hal ini, saya rasa tidak sewajarnya mana-mana pihak membuat
andaian atau tafsiran kewujudan pertandingan apa-apa jawatan dalam PAS
termasuk jawatan presiden atau timbalan presiden itu suatu amalan yang
tidak sihat, asing dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Jika itu hujahnya, maka sudah tentu kewujudan Perlembagaan PAS yang membenarkan pertandingan itu sendiri wajar dipertikaikan.
Kewujudan pertandingan bagi mengisi jawatan presiden atau timbalan
presiden bertolak daripada hasrat para perwakilan yang mahukan calon
yang sesuai untuk diamanahkan memimpin PAS, paling kurang untuk tempoh
masa dua tahun akan datang.
Persoalannya bagaimanakah calon yang akan bertanding jawatan presiden
dan timbalan presiden itu dapat dinilai dengan adil, telus dan saksama
jika tiada satu proses secara terbuka bagi calon itu diberi peluang
membentangkan idea dan wawasan mereka masing-masing bagi membawa PAS
dengan lebih yakin di tengah tengah masyarakat pelbagai agama, bangsa
dan kaum di negara ini.
Justeri itu, salah satu medan dan wadah yang paling mudah dan berkesan
bagi mencapai hasrat tersebut, bagi saya, adalah diprogramkan satu debat
terbuka antara calon-calon yang bertanding jawatan presiden dan
timbalan presiden PAS.
Melalui debat ini saya percaya para perwakilan dan ahli dapat menilai
dan memuhasabah tahap pencapaian, displin kerja, sikap
pertanggugjawaban, amanah dan keupayaan calon calon tersebut.
Keupayaan itu termasuklah kemampuan menguasai dengan baik isu-isu negara
dan antarabangsa dan keupayaan untuk meyakinkan rakyat pelbagai agama
dan bangsa di negara ini untuk menerima PAS sebagai parti politik yang
wajar diberi peluang bersama sama Pakatan Rakyat untuk menerajui negara
ini.
Sudah tentu tidak salah PAS mengambil ruh dan model pemilihan kepimpinan
negara negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang
sudah lama membudayakan trend debat terbuka antara calon calon presiden
negara.
Indonesia juga telah mula menjejaki tradisi agung negara negara maju tersebut.
Sistem yang baik, daripada mana pun sumbernya, boleh dicedok untuk
kebaikan kita sepertimana sebuah hadith yang menyatakan "hikmah itu
barang tercicir orang Islam, dan jika mereka menjumpainya mereka layak
memiliki barang tercicir itu."
Maka dalam soal kepimpinan, sudah tentu debat dalam menilai kemampuan
pimpinan ibarat barang tercicir umat Islam yang PAS wajar serapkan dalam
PAS. Sudah tentu debat itu sendiri harus dikawal dengan etika dan adab
adab yang tinggi.
Tanpa debat terbuka atau apa-apa program seumpama itu, maka dikhuatiri
penilaian yang adil, telus dan saksama tidak lagi dapat dilakukan dalam
memilih kepimpinan tertinggi PAS.
Yang lebih membimbangkan tidak mustahil faktor dan kriteria yang tidak
wajar dijadikan sandaran utama pemilihan akan lebih dominan dan
dikehadapankan. Jika ini berlaku, bagi saya, ia tidak membawa apa apa
kebaikan dalam PAS.
MOHAMED HANIPA MAIDIN ahli jawatankuasa PAS pusat.
No comments:
Post a Comment