KELAB GREENBOC
MH370 mungkin terhempas di Lautan Hindi dalam misi bunuh diri, lapor akhbar
Pesawat Malaysia Airlines MH370 mungkin terhempas di selatan Lautan Hindi dalam misi membunuh diri, lapor akhbar Britian Daily Telegraph, memetik sumber yang enggan dikenali sebagai berkata, hari ini.
Akhbar itu menyatakan pasukan penyiasat kehilangan MH370 percaya tiada kerosakan atau kebakaran yang mampu menyebabkan penerbangan luar biasa pesawat itu.
“Sistem komunikasi pesawat yang ditutup juga tidak menyebabkan MH370 berubah haluan dan terbang secara senyap selama tujuh jam ke lautan itu,” kata akhbar harian itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengumumkan lauan terakhir MH370 ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, mengikut data satelit terbaharu diperolehi.
Seorang sumber rasmi memberitahu The Telegraph penyiasat percaya “ini adalah tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat yang mempunyai pengetahuan terperinci untuk melakukan apa yang berlaku. Tiada yang mengembangkan butir itu menjadi motif.”
Ditanya mengenai kemungkinan pesawat itu mengalami kerosakan atau kebakaran dalam pesawat, sumber memberitahu The Telegraph:”Ia tidak saling berkait… (Penyiasat) meneliti proses yang diperlukan untuk menerbangkan pesawat itu di mana ia terbang selama lapan jam. Mereka mendapati ia dikendalikan dengan cara yang rasional.”
Walaupun tanpa penemuan bangkai yang dapat disahkan, Najib berkata malam tadi, data terbaharu menunjukkan MH370 mengakhiri penerbangan lapan jamnya pada 8 Mac dalam lautan, di kawasan terpencil perairan Lautan Hindi.
Data itu diberikan oleh syarikat satelit Inmarsat milik Britain dan Biro Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.
“Ia adalah kawasan terpencil, jauh daripada daratan yang membolehkan pendaratan,” kata Najib.
Di hotel di Beijing, ada ahli keluarga yang pengsan kerana terlalu marah dan sedih mendengar berita yang paling menakutkan mereka dan nasib buruk menimpa pesawat itu.
Ada yang menerima pesanan teks daripada Malaysia Airlines.
Mereka kemudian mengecam dan mengkritik Malaysia Airlines dan Putrajaya, melabelkan kedua-duanya sebagai “pembunuh sebenar” penumpang MH370.
Tetapi sebahagiannya masih menaruh harapan, bergantung kepada kegagalan berterusan dalam mencari pesawat itu.
“Tiada bangkai yang disahkan, maka tiada penutup yang sebenar,” kata Sarah Bajc, iaitu pasangan kepada Philip Wood, warga Amerika yang berada dalam pesawat itu.
Laporan Telegraph berkata, pesawat itu masih diselubungi misteri dan salah maklumat.
MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.
Pesawat sepatutnya tiba Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Perdana menteri dijangka memberikan sidang akhbar pada jam 12.30 tengah hari ini untuk memberikan maklumat terbaharu berhubung MH370. -TMI
Polis Teliti Kemungkinan Juruterbang Bunuh Diri - Hishammuddin
SEPANG: Polis sedang menyiasat kemungkinan juruterbang membunuh diri sebagai punca kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Bercakap pada sidang media di Hotel Sama-Sama di sini Isnin, Hishammuddin berkata, polis sedang menyiasat kemungkinan itu.
"Ya, kami sedang menelitinya (kemungkinan juruterbang membunuh diri)," kata Hishammuddin.
Namun, ketika ditanya, Hishammuddin enggan menyatakan jika terdapat mana-mana daripada 239 penumpang dan anak kapal di dalam pesawat tersebut mempunyai masalah peribadi.
"Tidak, saya tidak boleh komen buat masa ini," kata Hishammuddin.
Turut didedahkan bahawa Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) telah dimatikan secara sengaja selepas melalui Kota Baru dan transponder dimatikan dekat Igari.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya, berkata penghantaran terakhir dari ACARS adalah pada pukul 1.07 pagi, 8 Mac lalu tetapi tidak diketahui bila ia dimatikan.
Ia tidak dihantar 30 minit kemudian seperti diprogramkan.
Siasatan awal juga menunjukkan pembantu juruterbang yang bercakap buat kali terakhir dengan pusat kawalan trafik udara.
Komunikasi terakhir pembantu juruterbang itu adalah kira-kira pukul 1.19 pagi.
MAS turut berkata, ujian pskiometrik adalah prosedur standard untuk juruterbang dan anak kapal serta akan meneliti untuk memperkukuhkan prosedur pengambilan kakitangannya. - mstar (17 Mac 2014)
ULASAN GB
Selepas siasatan polis menunjukkan tiada bukti untuk mengaitkan juruterbang itu merampas pesawat dan tiada sandaran lansung untuk menuduhnya sebagai penyokong fanatik Anwar dan PKR seperti yang diwarwarkan sebelum ini, maka diubah haluan menyatakan juruterbang itu berkemungkinan membunuh diri....
Astaghfirullah....
Marilah kita sama-sama berdoa kepada Tuhan agar kebenaran dan keadilan itu didedahkan. Hanya DIA yang Maha Tahu dan Maha Berkuasa ke atas segala-galanya.
اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه
Allahumma arinal haqqa, haqqan, warzuqnattiba’ah, wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah
Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yangg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).
No comments:
Post a Comment