[VIDEO] DI bahunya disandarkan harapan, di bahunya juga terletak pelbagai cabaran. Sudah memasuki hari ke-22 semalam MH370 hilang entah ke mana. Di sebalik pelbagai spekulasi yang melanda, Pemangku Menteri Pengangkutan, DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN terus menjadi tumpuan dunia.
Setiap ayat yang keluar dari mulutnya dinanti dengan penuh debar. Biarpun diasak pelbagai soalan dari ratusan media yang menanti bagai jerung kelaparan, namun amanah yang digalas dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Semalam buat pertama kalinya, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan Malaysia berkongsi kisah di sebalik tragedi MH370 bersama beberapa media tempatan yang turut dihadiri oleh Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir.
Apa keyakinan yang ada pada Datuk Seri berhubung kehilangan MH370
HISHAMMUDDIN: Saya tidak pernah mengalah dan tidak akan mengalah selagi MH370 tidak ditemui. Semua yang berlaku ada sebabnya dan Jumaat lalu dalam satu khutbah yang saya rasa ditujukan untuk saya (Hikmah Dalam Ujian), saya selalu tanamkan dalam diri, setiap apa yang saya lalui saya buat yang terbaik dan saya tawakal kepada ALLAH.
Dan dalam kes MH370 ini yang saya lihat bukan sahaja ia unik kepada Islam tetapi agama-agama lain pun turut memberi kekuatan kepada kita. Dalam kehilangan ini kita kena cari kekuatan kita yang tersendiri, dan secara peribadi untuk diri saya, saya hanya lakukan yang terbaik mampu saya lakukan.
Jika diikutkan apa yang berlaku terhadap MH370 dan peristiwa Lahad Datu, Lahad Datu lebih mencabar. Tidak sukar untuk kita lakukan yang terbaik dalam kes MH370 ini kerana ramai yang tampil membantu.
Itu hikmah dalam ujian yang diberikan Allah SWT kepada diri saya dan kepada umat Islam di Malaysia. Hikmah yang saya lihat setakat beberapa hari yang kita lalui ini, kita bersatu. Kita masih lagi bersemangat dan kita tidak kecewa atau berputus asa. Ini merupakan satu kekuatan yang ada pada kita sebagai sebuah negara yang boleh diletakkan sebaris dengan negara-negara lain di luar sana.
Apa yang Datuk Seri sering hadapi apabila berjumpa dengan keluarga atau waris penumpang MH370?
HISHAMMUDDIN: Pagi tadi (semalam), saya sempat berjumpa dengan keluarga penumpang bukan sahaja dari Malaysia tetapi dari luar negara termasuk China. Satu permintaan mereka untuk operasi SAR dan untuk dunia supaya terus mendoakan penumpang selamat.
Saya sudah nyatakan dahulu walaupun mungkin tipis kedudukan mereka, tetapi kita terus mendoakan dan operasi mencari dan menyelamat sentiasa memberi keutamaan kepada penumpang-penumpang dan anak kapal. Itu satu harapan yang saya sangat memahaminya.
Ia datang dari keluarga dan saya harap orang ramai sensitif terhadap harapan mereka itu. Saya beri jaminan walaupun keadaan jauh dan terpencil, kita akan tetap menjejaki dan mencari di mana MH370.
Apa penanda aras untuk kita meletakkan kemajuan dalam pencarian MH370?
HISHAMMUDDIN: Susah untuk kita membuat penanda aras kerana apa yang berlaku kepada MH370 adalah perkara yang luar biasa. Dunia tidak pernah melaluinya. Kita terpaksa mengkoordinasinya 26 negara dan aset-aset yang paling sofistikated dan di kawasan-kawasan yang paling terpencil di dunia.
Ini satu tanggungjawab yang cukup berat dan kalau ditanya apa juga penilaian kita, susah saya hendak buat perbandingan kerana penanda aras untuk mengatakan kita berjaya atau tidak, belum ada. Tetapi saya tidak lari dari fokus utama iaitu akhirnya kita dapat mencari dan mengenal pasti di mana pesawat MH370.
Dan pendirian kita sentiasa konsisten iaitu melakukan dan membuat satu-satu keputusan dan mengumumkannya selepas ada kemajuan dan ada pengesahan dari pihak-pihak yang bertanggungjawab yang ada kepakaran dan mempunyai maklumat yang kukuh.
Itu tindakan kita daripada hari pertama. Dan saya boleh berbangga kerana bukan sahaja kita konsisten dan tidak tergopoh-gapah, malah dan kita mengikut semua petunjuk yang ada tanpa putus asa.
Antara kes Lahad Datu dan MH370, mana satu lebih mencabar?
HISHAMMUDDIN: Lahad Datu lebih mencabar kerana kita tidak tahu apa dia ancamannya. Dan yang keduanya, pertimbangan yang paling sukar untuk saya hadapi ialah, jika silap keputusan pada ketika itu boleh menyebabkan lebih ramai terkorban.
Dan pada masa dan ketika itu kita tidak mempunyai sokongan dan kepakaran daripada dunia. Saya secara peribadi merasa keseorangan. Dan maklumat-maklumat yang kita terima tidak boleh dikongsi bersama dengan orang ramai. Itu satu perkara yang menyebabkan orang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di Lahad Datu.
Tapi kali ini dalam kes MH370 apa yang berlaku berlaku adalah dalam keadaan sebenar (real time). Kita ketahui dunia perhati kita. Tidak ada benda yang perlu disembunyikan. Kalau dapat sebarang pertunjuk akan dikoordinasi dan akan disahkan bersama oleh mereka yang pakar. Itu melegakan saya kalau hendak dibandingkan dengan Lahad Datu.
Pencarian MH370 kini terarah ke mana?
HISHAMMUDDIN: Mencari MH370 bukan satu perkara yang mudah. Ia tanggungjawab kepada negara kita. Rakyat Malaysia hari ini bersatu tanpa mengira kedudukan, darjat, kaya miskin , tua muda, semuanya bersatu untuk melihat kepada satu penemuan MH370.
Situasi ini juga mendorong saya untuk meneruskan usaha. Melihat hari demi hari. Untuk melihat jauh saya rasa agak sukar kerana tidak tahu sama ada objek yang dapat dikesan oleh satelit itu merupakan yang datangnya dari pesawat MH370 atau tidak.
Kalau ia pun datang dari MH370, timbul satu lagi persoalan di mana kotak hitam? Dan apa yang penting sekarang ialah untuk mengesan pesawat berkenaan dan menjejaki kotak hitam itu. Dan adakah kotak hitam itu boleh dijumpai dalam masa 30 hari?
Kalau kotak hitam itu tidak dapat dikesan dalam tempoh 30 hari, apa pulak selepas itu? Kalau nak pergi jauh sampai dua tahun macam Air France, saya rasa sukar untuk saya tidur malam seperti yang sedang saya lalui sekarang…
Ikuti sambungan esok bagaimana Hishammuddin menjawab beberapa spekulasi dunia mengenai MH370 dan apa yang perlu dilakukan terhadap sistem keselamatan negara.
No comments:
Post a Comment