MALAYSIAKINI
Syarikat satelit yang berpangkalan di Britain, Inmarsat, berkata
pihaknya tidak terbabit dalam membuat kesimpulan bahawa pesawat MH370
telah "berakhir di Lautan Hindi".
Pada malam 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa pesawat MH370 telah
"berakhir di Lautan Hindi" dengan memetik analisis data satelit
Inmarsat.
Bagaimanapun, pengumuman telah membangkitkan kemarahan di
kalangan keluarga penumpang China, yang enggan menerima kesimpulan itu sehinggalah pesawat tersebut ditemui.
Jurucakap Inmarsat Jonathan Sinnatt berkata Inmarsat hanya menyediakan
maklumat dan terpulang kepada kerajaan Malaysia untuk membuat kesimpulan
sendiri, laporan China Daily.
"Kami menyediakan maklumat kita kepada rakyat Malaysia, dan mereka
menggabungkannya dengan maklumat yang lain yang mereka ada, yang kita
tidak tahu tentangnya, dan kemudian mereka membuat kesimpulan
daripadanya dan membuat pengumuman mereka sendiri.
"Kami tidak terbabit dengan apa yang Malaysia umumkan, itu terpulang
kepada mereka, kerana mereka melihat gambaran penuh. Kami hanya
menyumbang satu set maklumat," jurucakap itu dilaporkan berkata.
Sementara itu, Reuters melaporkan Xinhua hari ini berkata sebuah pesawat
China telah mengesan tiga objek yang mencurigakan di kawasan carian
baru di Lautan Hindi.
Barang-barang itu masing-masing berwarna putih, merah dan oren, kata Xinhua.
Manakala
Astro Awani pula memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi berkata hari ini bahawa protokol keselamatan
baru di pintu masuk negara, terutamanya KLIA, sedang dikaji dan diperbaiki jika perlu.
Imigresen akan memasang APSS atau sistem pemeriksaan penumpang yang akan dilaksanakan pertengahan bulan Jun.
Bagaimanapun beliau enggan menjawab ketika ditanya mengenai protokol
ruang udara, sambil berkata ia terletak di bawah Jabatan Penerbangan
Awam (DCA) dan Kementerian Pengangkutan.
Mengenai pelanggaran keselamatan ruang udara kita seperti yang berlaku
terhadap lencongan penerbangan MH370, Zahid berkata ia adalah satu
perkara yang melibatkan Kementerian Pertahanan.
Katanya, ketika beliau menjadi menteri pertahanan, Tentera Udara diberi
tanggungjawab untuk memintas apa-apa unsur asing, tetapi bukan pesawat
komersial, kerana radar primary dapat mengenal pasti antara sebuah jet
pejuang, pesawat tentera dan pesawat komersil.
No comments:
Post a Comment