Sunday, March 30, 2014

Sistem baru saring penumpang kuatkuasa Jun

MALAYSIAKINI


 


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan melaksana sistem saringan penumpang pada pertengahan bulan Jun untuk menambahbaik protokol keselamatan di laluan masuk negara.

Laporan Astro Awani menyebut, Ahmad Zahid berkata ia merupakan antara pelaksanaan ke atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya kementerian menyemak semula prosedur operasi (SOP) berkenaan.

“Seperti dinyatakan oleh perdana menteri, kita akan menyemak semula SOP, terutama protokol keselamatan di laluan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Sementara itu, laporan The Star Online menyebut, Sistem Saringan pemeriksaan penumpang digelar Sistem Advanced Passenger Screening System (APSS) akan membolehkan pihak berkuasa mengesan penumpang dengan rekod jenayah dengan cepat.

Laporan yang memetik kenyataan bekas ketua pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Alias Ahmad itu bagaimanapun tidak menyatakan sekiranya sistem tersebut akan membuat capaian ke pengkalan data Interpol.

Agensi polis antarabangsa itu semalam dilaporkan menolak tanggapan Malaysia bahawa pangkalan datanya untuk menyemak pasport adalah terlalu rumit.

Interpol berkata walaupun beberapa negara lain menggunakan pangkalan data itu berjuta kali setiap tahun, tetapi Jabatan Imigresen Malaysia tidak memeriksa pasport penumpang pesawat dengan pangkalan data agensi itu sepanjang tahun ini sebelum kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac.

Agensi itu menjawab kenyataan Ahmad Zahid di Dewan Rakyat pada hari Rabu lalu bahawa bebanan pangkalan data Interpol memperlahan pemeriksaan imigresen.

Zahid berkata pangkalan data Interpol yang mengandungi data kehilangan 40.2 juta pasport adalah "terlalu besar" dan akan menjejaskan sistem pengurusan pangkalan data Malaysia.

Akhbar Malay Mail Online memetik Zahid sebagai berkata tambahan pula, maklumat Interpol mengenai pasport yang hilang, boleh melambatkan proses pemeriksaan imigresen di kaunter.

Masalah kelonggaran semakan penumpang di pintu keluar masuk negara itu timbul apabila dua orang penumpang warga Iran didapati berjaya menaiki penerbangan MH370 pesawat Malaysia Airlines dengan menggunakan pasport yang dicuri.

Operasi pencarian pesawat tersebut, yang hilang tidak lama selepas berlepas dari KLIA pada 8 Mac lalu kini masuk hari ke-23.

No comments: