Tanaman cili yang diusahakan Ismail tidak dapat melalui proses tumbesaran sempurna kerana cuaca panas berpanjangan.
KUANTAN - Cuaca panas dan kemarau yang berlarutan sejak dua bulan lalu menyebabkan golongan petani di daerah ini mengalami kerugian, bahkan sebahagian daripada mereka rugi mencecah ribuan ringgit.
Petani di perkampungan Sungai Soi dan mereka hanya mampu berserah dengan dugaan yang datang serta berharap hujan akan turun.
Wang Her Ban, 42 berkata, sejak kemarau melanda tanamannya menjadi tidak subur kerana masalah kekurangan air, malah kolam menakung air juga kering.
Menurutnya, dia mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit dalam tempoh sebulan memandangkan terpaksa mengeluarkan belanja lebih dan hasil pengeluaran juga terjejas.
“Keluasan tanaman saya kira-kira 22 hektar dan apabila kemarau melanda ia akan menjejaskan kesemuanya.
“Tumbesaran pokok dan buah terbantut kerana kekurangan air menyebabkan hasil pengeluaran tidak seperti sebelum ini.
“Jika pada hari biasa kami menyiram tanaman dua hari sekali tetapi dalam keadaan sekarang hanya mampu menyiram tiga atau empat hari sekali dan tanaman mulai layu.
Menurutnya, jika sebelum ini dia menggunakan kira-kira RM 5,000 untuk membeli minyak diesel bagi menggerakkan mesin menyiram tetapi bulan ini sahaja sudah melebihi RM10,000.
“Masalah untuk menyiram pula timbul apabila kolam kering kontang dan baru-baru ini ada hujan tetapi tidak lama.
“Jika musim biasa kita menyiram dalam tempoh satu jam tetapi sekarang hanya mampu bertahan kira-kira 15 minit sahaja kerana bekalan air tidak ada,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Katanya, sejak bergelar petani kira-kira 18 tahun yang lalu, kemarau kali ini paling teruk melanda dan berpanjangan.
“Setiap hari saya membekalkan bertan-tan sayur seperti kacang panjang, cili, peria dan pelbagai lagi kepada pemborong dan setakat ini masih mampu bertahan walaupun cuaca sangat teruk,” katanya.
Seorang lagi petani, Ismail Ahmad, 47 turut berdepan masalah sama, malah lebih kritikal kerana tanaman cilinya masih dalam proses peringkat awal.
“Saya mengeluarkan modal berbelas ribu untuk tanaman cili seluar kira-kira 0.8 hektar ini dan jika kemarau berterusan memang teruk akibatnya.
“Jika dahulu kita siram dua kali sehari tetapi sekarang hanya mampu sekali sehari sahaja dan itu pun dalam kadar yang sedikit.
“Kolam mulai mengering dan kerana tiada hujan kita terpaksa membeli petrol dengan lebih kerap serta terpaksa berbelanja lebih,” katanya.
Petani berpengalaman lebih 30 tahun, Han Tee Bu, 78 berkata, jika sebelum ini dia mampu mengutip kira-kira 30 bakul cili besar tetapi sekarang hasilnya tidak sampai 10 bakul.
“Keluasan tanaman saya kira-kira 4 hektar dan baru sahaja mengeluarkan hasil tetapi ia tidak begitu memberangsangkan.
“Saiznya kecil dan pokoknya tidak tahan lama, sekali gus menjejaskan pendapatan harian.
“Sekarang hanya mampu mengutip di antara tujuh hingga lapan bakul cili sahaja dan keadaan ini memang jauh berbeza jika dibandingkan jika cuaca normal,” katanya.
No comments:
Post a Comment