4 individu serang pengundi dicari Pengundi beratur menunggu giliran untuk mengundi PRK Dun Kajang di Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat, Ahad lalu. -Foto Bernama


SHAH ALAM - Satu daripada dua kertas siasatan yang dibuka berkaitan insiden yang berlaku ketika proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang Ahad lalu, akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam tempoh terdekat.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kertas siasatan yang akan dihantar adalah berhubung kes seorang lelaki yang cuba menghalang polis merobohkan barong panas di persimpangan Jalan Taman Delima, Kajang.

Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang memarahi anggota polis dengan kata-kata lucah serta menghalang polis menurunkan khemah di lokasi itu seperti yang diminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Keterangan lelaki itu sudah direkodkan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Kertas siasatan sudah dilengkapkan untuk dimajukan kepada DPP selewat-lewatnya pagi esok (hari ini). Kita menunggu arahan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Polis ke-207 peringkat Kontinjen Selangor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Dalam kes berasingan, Abdul Rahim berkata, polis sedang mengesan empat individu yang dipercayai terlibat menyerang dan mencederakan seorang lelaki berusia 27 tahun yang keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan Kajang.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti kesemua individu terbabit dan dalam proses untuk membuat tangkapan.

Katanya, kesemua individu berkenaan adalah orang tempatan dan setakat ini, masih belum dapat dipastikan motif sebenar serangan dilakukan.

Ketika mengulas sama ada, keempa-tempat individu itu adalah penyokong dari parti-parti tertentu, beliau berkata, pihaknya tidak mahu membuat andaian sehingga tangkapan dibuat.

“Dalam pilihan raya macam-macam boleh berlaku dan kita tak boleh cakap mereka penyokong siapa kerana mereka boleh menyamar untuk timbulkan provokasi atau tujuan meraih simpati, Biar kita siasat dulu,” katanya.

Abdul Rahim berkata, PRK Dun Kajang kali ini juga berjalan lancar kecuali dua insiden terbabit, selain menolak dakwaan bahawa kemerosotan kehadiran pengundi ada kaitan dengan isu keselamatan atau masalah trafik.

Menurutnya, keanggotaan polis yang ditugaskan sepanjang tempoh tersebut mencukupi dan tiada masalah trafik.