Ahad, 22 Disember 2013

Matinya suara mahasiswa pasca PRU-13: Dah jadi UMNO?

 Oleh: Hafiz Zainuddin

maxresdefault


BAKAR diri, Boazizi, graduan itu sudah mati. Dari satu pekan kecil bernama Sidi Bouzid, api kemarahan masyarakat tercetus dan merebak hingga runtuhnya empayar Presiden Zainal Abidin Ali pemerintah Tunisia. Debu-debu suci Sahara menjadi saksi letusan Arab Spring sampai singgah ke negara Timur Tengah yang lain. Itu kisah benar dicatat sejarah seorang manusia, anak muda yang nekad dan kecewa, memanifestasikan pembebasan.

Malaysia? Walaupun sebelum ini ada yang terlalu optimis terhadap gerakan rakyat yang disebut-sebut Malaysian Durian, ia jauh untuk menjadi mampu. Malaysian Durian gagal. Yang tinggal hanya durian Bota timbang kilo laku terjual di Pasar Pudu.

Kebangkitan anak muda, mahasiswa atau yang selalu Hishamuddin Rais, tokoh NGI itu petik “Dunia ini milik anak muda akhirnya..” tidak kesampaian.

Sebabnya mudah, anak muda Malaysia, graduan IPTA dan IPTS sibuk menamatkan pengajian demi sebiji kereta dan kahwin cepat. Wacana hanya tinggal wacana, bila timbul polemik, wacana lagi.

Maka, berwacanalah sampai mati dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap jadi entiti ‘maha kuasa’.

Apa lagi Pakatan Rakyat boleh buat? Apa lagi mahasiswa, anak-anak muda pemimpin masa depan ini mampu buat? Siapa ikut kata siapa, siapa buat kerja siapa? Perlukah begitu? Atau slogan idealisme mahasiswa sudah lama masuk lombong?

Bukan anarkisme?

Sekitar tahun 1970-an negara memiliki ramai aktivis siswa yang handal. Baik pidato, baik tindakan. Perjuangan mereka jelas demi masyarakat miskin lagi tertindas, menolak hegemoni pembodohan pemerintah dan menjadi contoh buat zaman.

Memang, kita tidak mahu negara jadi kacau dengan huru-hara yang akhirnya menjadi laluan mudah situasi anarkisme.

Kewujudan anarkisme dalam tempoh yang sedikit pun sudah cukup menjadikan Bukit Bintang lengang. Kedai-kedai Arab tutup, operasi rumah urut tergendala dan taukeh di Low Yat boleh bungkus. Tak siapa mahu menyusahkan sesiapa.

Pasca 2000 lebih buruk daripada tahun 1970-an. Masyarakat dibelit dengan pelbagai kemelut ekonomi dan penindasan secara melampau seperti kemiskinan, kenaikan harga barang, GST, mangsa salah guna kuasa, monopoli dan rasuah. Negara makin dipenuhi miskin bandar, miskin muda bandar dan keruntuhan sosio-masyarakat akibat manipulasi kapitalisme hingga menyebabkan kelimpahan pekerja asing tak terkawal.

Dalam saat kritikal ini, kita layak meluahkan rasa sedih dan malu bila golongan siswa lebih suka main instagram di McD.

Kita bukan mahu melihat mereka turun dalam aksi sepanjang masa sampai mati bergelimpangan ditembak tentera seperti di Tianmen Square Beijing tahun 1989.

Tapi yang sedih, masyarakat kita tidak lagi melihat kecenderungan mahasiswa untuk menyuarakan, keluar daripada ruang selesa mendidik dan beraktivisme bersama masyarakat, paling tidak buatlah gerakan sukarelawan kempen dan bengkel kitar semula misalnya.

Aset jadi asap… bila Timbalan Menteri mengaku ‘graduan kita kurang intelek’

Akibat mahu kahwin, cepat dapat anak atau kerja kerajaan, peranan mahasiswa jatuh martabat.
Walaupun kelembapan mahasiswa kita boleh disalahkan kepada kerajaan BN atas segala macam ugutan dan suapan pelbagai maklumat sesat dalam kem Biro Tata Negara (BTN), adakah mereka tidak mampu untuk berfikir sebelum menyerahkan seluruh hidup semata-mata mahu jadi produk manusia bagi mengisi kehendak pasaran?

Bermula daripada hal itu, perkara lain pula timbul. Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, P Kamalanathan pada majlis ‘An evening with CEOs: Towards Future Industrious Colloborations’ anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, secara langsung mengakui “ketidakbolehan pasaran graduan di negara ini adalah kelemahan intelektual…”

Lucunya beliau berkata, ketidakbolehan pasaran graduan itu pula tidak dikaitkan dengan kelemahan sistem di institusi pendidikan tinggi (IPT) kerana katanya pembentukan peribadi yang berkeyakinan dan berkeupayaan harus bermula di peringkat pendidikan rendah dengan proses yang membabitkan ibu bapa, guru, masyarakat dan pemerintah.

Maksudnya, seolah-olah Kamalanathan menyalahkan semua pihak bila daya intelektual graduan Malaysia lemah. Baiklah, Kamalanathan sudah salahkan semua pihak, kita pula jangan jadi bebal untuk salahkan orang selain mula bertindak.

Bangkit tidur

Mahasiswa bangun melawan bukan cerita asing dalam sejarah nasional. Nama-nama tokoh gerakan mahasiswa zaman itu seperti almarhum Yunus Ali, Abu Zer, Kamaruzzaman Yacob, Hishamuddin Rais, Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim dan ramai lagi sangat sinonim dengan kebangkitan mahasiswa sekitar 1970-an. Dan bersebabkan itu jugalah kerajaan memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bertujuan mengekang kebangkitan mahasiswa yang kini dimansuhkan semula.

Hero mahasiswa pra-pilihanraya umum ke-13, Adam Adli muncul pada saat kebobrokan UMNO-BN memuncak sejalur dengan gerakan Bersih, Mansuh PTPTN, PPSMI, Occupy Dataran dan Himpunan Hijau. Bermula daripada tindakan beliau menurunkan bendera gambar Perdana Menteri Najib Razak, namanya terus mengharum sebagai hero siswa disebut orang dan gadis. Bersumberkan tindakan berani itu, maka, gelanggang universiti kita terkocak. Tambah berkocak lagi apabila seorang lagi mahasiswa, Bavani berjaya menggugat kesabaran penceramah Sharifah Zohra yang popular dengan slogan ‘Listen’ tiga kali itu.

Justeru, berlakulah sedikit anjakan dalam masyarakat kampus. Sesuai dengan kehangatan pilihan raya, aktivis siswa dari pelbagai arah mula bersuara daripada isu hal ehwal pentadbiran universiti hinggalah turun ke jalan raya menuntut pendidikan percuma.

Namun, pasca PRU ke-13 yang memperlihatkan PR kecundang menawan Putrajaya. Anehnya, suara mahasiswa semena-mena juga menyusut. Hampir tak kedengaran. Mungkin sesekali adalah sedikit tenggelam timbul. Jadi kita tertanya-tanya, apa mungkin kelompok aktivis mahasiswa yang konon mendakwa diri mereka sebagai aktivis non-partisan sebenarnya hanya alat parti politik? Kalau mahsiswa yang dianggap bakal pemimpin generasi masa depan tidak berdaya bangkit melepaskan masyarakatnya daripada tekanan regim BN, tak perlulah berbangga.

Tahun 2014 bakal menjelma bersama 1001 lagi pengharapan dan kemungkinan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, manakan mampu parti politik sahaja bertekak dalam Parlimen? Inilah peluang terbaik golongan siswa menebus semula suara mereka yang tenggelam dan menumpul.

Perjuangan mahasiswa bukan perjuangan parti politik, maka anda harus bersedia menjadi benteng unggul anak bangsa. – Roketkini.com

Tiada ulasan: