Ahad, 22 Disember 2013

Kerajaan serius kawal penjualan ubat haram

 
Operasi bersepadu memerangi laman web yang mengiklan dan menjual produk tidak berdaftar dengan KKM.

 

Bahagian 1
Ubat haram



PETALING JAYA: Pelbagai langkah telah diambil oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memerangi laman web yang dikesan mengiklan dan menjual produk tidak berdaftar.

Bahagian ini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam Operasi Pangea V dan Pangea  VI dalam usaha menutup laman web yang dikesan melanggar akta-akta yang dikuat kuasakan oleh KKM.

Operasi ini dijalankan secara bersepadu dan melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan dari lebih 100 negara di seluruh dunia dan dikoordinasikan oleh Interpol, kata Timbalan Metteri Kesihatan Datuk Seri Helmi Yahya..

“Sepanjang Operasi Pangea V dijalankan dari 25 September 2012 sehingga 2 Oktober 2012, sebanyak 99 laman web telah disenaraikan kepada pihak SKMM untuk menyekat dan seterusnya menutup laman web tersebut.

“Di dalam operasi Pangea VI yang bermula dari 18 sehingga 25 Jun 2013 sebanyak 163 laman web telah disenaraikan untuk disekat dan ditutup daripada diakses oleh orang awam,” katanya..

Di samping operasi-operasi yang dijalankan secara berkala, KKM sentiasa memantau kewujudan laman web dan laman sosial yang melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan dari segi penjualan dan pengiklanan.

Ini dilakukan bagi melindungi pengguna dari terjebak dan percaya kepada promosi-promosi dan iklan-iklan yang kebanyakannya sengaja direka tanpa sebarang asas dan bukti saintifik.

Helmi berkata sepanjang tahun 2012, sebanyak 2,133 permohonan iklan telah diterima oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan dari jumlah tersebut, hanya 1,676 permohonan diluluskan oleh Lembaga Iklan dan Ubat (LIU) untuk tujuan pengiklanan.

Sebanyak 314 surat amaran telah dikeluarkan kepada syarikat dan penerbit pengiklanan yang dikesan melanggar Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956 dan peraturan-peraturannya meliputi pelbagai kesalahan, katanya

Tiada ulasan: