Oleh Mohd Zaki Zakaria
Suka saya mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkaitan sikap kerajaan BN berhemah berbanding cara PR yang lebih mementingkan tindakan populis dalam polisi kerajaan mereka.
PM menegaskan 1.4 juta penjawat awam adalah tulang belakang dan teras pentadbiran mesti memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan supaya persepsi kepada kerajaan lebih meyakinkan.
Pada saya, penegasan ini tidak akan mendorong penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik apalagi memaksa persepsi rakyat untuk mengatakan kerajaan BN amat berhemah dan bagus.
Secara sedar ataupun tidak, penjawat awam juga merupakan rakyat yang hanya diberikan tugas untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Dasar ini ditentukan oleh PM.
Oleh itu, andainya PM ingin meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam dan mengubah persepsi rakyat ke arah yang lebih baik, maka PM wajib menggariskan dasar-dasar yang bagus untuk rakyat dan dilaksanakan oleh penjawat awam.
Akhirnya, penjawat awam juga merasa selesa dengan dasar-dasar tersebut. Barulah timbul rasa menghargai antara penjawat awam dan rakyat kepada kerajaan.
Lalu apakah dasar yang dilaksanakan oleh PM tidak bagus untuk rakyat? Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan amat sinis maksudnya.
Apa yang saya fahami sekarang, rakyat memang didahulukan untuk menanggung segala bebanan kerajaan sedangkan pencapaian kemajuan dan ekonomi negara diutamakan tanpa menuntut pengorbanan PM dan menteri-menteri.
Bila negara mengalami masalah kewangan, maka rakyatlah terdahulu perlu mengorbankan poket mereka. Rakyat wajib berjimat cermat. Rakyat dimomokkan dengan kewajipan berjimat cermat.
Sekiranya boros, umpama berkawan dengan syaitan. Sedang PM dan pak menteri terus mewah dengan harta negara bagaikan harta sendiri.
Atas nama rasionalisasi subsidi, harga minyak dinaikkan, harga barang-barang melambung, caj elektrik naik, harga tol juga ingin dinaikkan lagi dan entah apa lagi harga yang akan meningkat.
Yang pasti, penjawat awam, penjawat swasta dan rakyat marhaen sudah lama menahan penderitaan kesusahan ini. Padahalnya, masalah kewangan Negara akibat salah urus oleh PM sendiri.
Ada yang mencabar pak-pak menteri membelanjakan hanya RM2,00 dalam sebulan tanpa mengambil gaji dan berbagai elaun lain yang angkanya belasan ribu. Rasailah keperitan yang kami rasakan.
Cukupkah RM2,000 ini untuk membayar sewa flat, membeli keperluan isi rumah, membayar sewa beli kereta, petrol, tol, bil-bil, susu, pampers dan kos asuhan anak-anak? Bagaimana pula rakyat yang bergaji kurang RM2,000?
Apakah kami boleh menggores kad kredit bila gaji kami tak cukup atau kami boleh meluluskan peruntukan tambahan atau kami boleh mengisi borang claim seperti pak-pak menteri?
Hemat saya, lebih baik kerajaan yang populis dari kerajaan berhemah PM kerana yang populis itu lebih mementingkan kebajikan rakyat. Ia takkan popular kalau rakyat terbanyak benci dan rakyat hanya sayang bila kerajaan menjaga kebajikan mereka.
Sudah terbukti kerajaan populis PR tidak bankrap, malah lebih cemerlang dari kerajaan berhemah PM yang sebelumnya. Penjawat awam pula akan melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan lebih baik bila mereka merasakan dasar tersebut untuk kebaikan mereka jua. Kepada PM, dengarlah isi hati kami rakyat ini.
(*) Penulis ialah Ketua Unit Media Baru, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan