SHAH ALAM - Beberapa bulan selepas berakhirnya PRU13, rakyat menyaksikan kenaikan harga barang dan perkhidmatan satu demi satu.
Bermula dengan pengurangan subsidi yang menyebabkan kenaikan petroleum RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, diikuti pemansuhan subsidi gula 34 sen, kemudian peningkatan tarif elektrik 4.99 sen satu kilowat sejam (KWJ).
Terbaru, pengumuman semakan semula kadar gas, tambang LRT dan monorel serta kadar tol membabitkan 13 lebuh raya.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani melihat tindakan kerajaan yang mengurangkan subsidi itu sebagai satu usaha untuk menangani bebanan kewangan kerajaan namun ia tetap meninggalkan kesan.
“Kerajaan dalam usaha mengurangkan beban kewangan dengan hapuskan subsidi dan sebagainya. Baru-baru ini, pengurangan subsidi gula menyebabkan harga gula melambung.
“Kesannya pada pilihan raya umum memang ada. Kalau rakyat rasa terbeban dengan keadaan ekonomi yang begitu, mereka akan beri kesan kepada pemerintah. Jika gagal menangani isu ini, ia akan jejaskan peluang BN dalam PRU14 nanti,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Menurutnya, kenaikan itu memberi kesan kepada golongan kelas menengah dan kelas bawah dan kerajaan perlu mengatasi bebanan rakyat ini.
“Kenaikan harga barang mewah kita tak terasa sangat tetapi barang keperluan harian seperti gula, beras, ayam dan sebagainya akan beri kesan dalam kos sara hidup golongan kelas menengah dan kelas bawah.
“....jika kerajaan tidak kawal ia akan beri kesan kepada pengundian pada PRU14,” katanya.
Azizuddin juga berpendapat kerajaan perlu mengawal kenaikan mendadak harga barangan keperluan asas untuk mengekalkan sokongan rakyat.
“Tapi kerajaan boleh kawal kenaikan mendadak harga barang sebenarnya. Saya nampak harga barang asas penting. Jika, harganya tinggi sudah tentu beri kesan bebanan kepada rakyat.
“Kalau kerajaan nak kekalkan sokongan rakyat, barangan asas ini perlu dikawal supaya harganya tidak naik dan pada masa sama rakyat boleh menikmati barangan itu dengan harga berpatutan. Itu mungkin yang boleh kerajaan lakukan,” katanya.
Sementara, penganalisis politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman melihat pengurangan subsidi itu sebagai langkah pencegahan daripada berlaku inflasi pada masa akan datang.
“Kerajaan bukan menaikkan harga tetapi mengurangkan subsidi. Selama ini subsidi telah diberikan. Sampai bila kerajaan akan menanggung terlalu banyak beban rakyat?
“Saya lihat apa yang dilakukan adalah langkah pencegahan daripada berlaku inflasi dan sebagainya pada masa akan datang,” katanya.
Beliau menyifatkan rakyat mempunyai pilihan dalam setiap penggunaan barangan dan perkhidmatan.
“Mereka ada pilihan. Kalau mereka tak nak dibebani oleh beberapa perkara yang meningkat, maka mereka perlu kurangkan atau pilih lain. Kalau nak pergi Johor, ikut jalan lamalah, jangan lalu jalan bertol. Tapi fikir sendiri apa nikmat kita boleh dapat kalau lalu tol dengan lalu jalan lama?
“Contohnya, dengan peningkatan harga gula itu dapat menyedarkan betapa pentingnya pengurangan pengambilan gula yang menjejaskan kesihatan. Kos kesihatan meningkat sebab orang ramai dapat banyak penyakit. Kos kempen sampai RM 20 juta.
“Jadi, apabila harga gula mahal, mungkin kita akan lebih berhati-hati dalam pengambilannya sekali gus mengurangkan kadar penyakit,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan