Selasa, 17 Disember 2013

Kaji semula perjanjian konsessi lebuhraya, ia berat sebelah

ASPAN ALIAS

Buat pertama kalinya, saya ingin membuat komen tentang apa yang disebut oleh Wahid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, tentang kenaikan tol, isu yang sangat menyakitkan rakyat ini. Wahid mempertahankan kenaikan tol yang dibuat oleh ‘concessionaire’ lebuhraya kerana kenaikan itu adalah perkara yang sudah termasuk di dalam perjanjian ‘concession’ yang ditandatangani dengan kerajaan.

Sememangnyalah begitu. Apa yang telah dipersetujui dahulu dan ditandatangani pula perjanjian itu, maka ia terpaksa dilaksanakan mengikut lunas-lunas perjanjian itu. Elok kita beritahu Wahid yang semuanya itu difahami rakyat kerana rakyat bukan lagi buta huruf seperti dahulu.

Tetapi seperkara yang Wahid mesti tahu ialah rakyat sedang menghadapi kos kehidupan yang terlalu tinggi dan memeritkan kerana harga barang keperluan dan perkhidmatan seperti membayar tol ini amatlah tinggi. Pemimpin kita bercakap yang semua pihak perlu berkorban untuk memastikan negara kita melalui zaman susah ini dengan sabar dan perlu berkorban untuk negara.

Nah, rakyat telah berkorban dengan pengurangan berbagai-bagai subsidi seperti subsidi bahan bakar dan berbagai-bagai lagi. Oleh yang demikian, tidakkah terfikir dan terdetik di dalam fikiran pemegang konsessi lebuhraya yang banyak ini untuk bersama-sama dengan rakyat untuk berkorban? Tidak bolehkah kerajaan berunding dengan pemegang konsessi ini untuk mengurangkan sedikit tol ini dan bersama-sama menunjukkan sikap ingin bersama berkorban dalam keadaan ekonomi rakyat yang sangat memeritkan sekarang ini.

Kenapa hanya rakyat yang berkorban sedangkan pemegang tol tidak dapat bersetuju untuk tidak melaksanakan kenaikan tol itu walaupun masa untuk menaikkan tol itu sudah sampai seperti yang ada di dalam perjanjian konsessi itu? Apa ruginya pemegang konsessi jika mereka tidak menaikan harga tol itu?

Apa yang sepatutnya berlaku kadar tol mestilah semakin hari semakin kurang kerana ‘traffic’ yang menggunakan tol itu bertambah dari hari ke hari. Kadar tol sepatutnya semakin hari semakin kurang. Pemegang-pemegang konsessi lebuhraya di negara ini tidak mempunyai perasaan kerana mereka bukan tidak tahu yang rakyat terseksa dengan harga kadar tol yang semakin hari semakin tinggi itu.

Janganlah Wahid memberi jawapan seperti jawapan yang diberikan oleh Hassan Malek dalam isu kenaikan harga ayam dahulu dengan meminta rakyat jangan makan ayam kalau harga ayam naik. Itu jawapan seorang pemimpin yang tidak mempunyai perasaan. Wahid pula meminta rakyat menggunakan jalan alternatif yang disediakan. Tidak semua jalan bertol mempunyai jalan alternatif, jika Wahid ingin nak tahu.

Masalahnya di negara ini jika kerajaan dan negara mahu pengorbanan untuknya, hanya rakyat yang marhean dan buruk ini sahaja yang perlu berkorban dan mengambil segala sedikit subsidi dan bantuan yang ada, sedangkan yang telah mengumpul kekayaan daripada perkhidmatan yang mahal, seperti pemegang konsessi lebuhraya hanya mahu mengambil keuntungan tanpa mahu berkorban.

Jika pemegang konsessi ini mempunyai sikap bersedia untuk bersama berkorban kenapa tidak mengambil tindakan dengan mengurangkan atau setidak-tidaknya mengekalkan kadar kutipan tol tersebut?

Pemegang konsessi dan kerajaan tidak jujur terhadap rakyat yang telah lemas dengan slogan ‘rakyat didahulukan’ itu. Ia hanya merupakan retorik yang ‘bigotry’ dan tidak membawa apa-apa makna kepada kita yang mendengarnya.

Perniagaan konsessi lebuhraya ini sebenarnya merupakan perniagaan yang sangat untung dari segi menghadap masalah. Perniagaan ini adalah ‘cash business’ dan tidak menghadapi hutang tidak berbayar dari pengguna. Lintas sahaja ‘toll gate’ kita akan membayar dengan tunai.

Yang lebih menguntungkan bagi konsessi itulah pembayaran melalui ‘touch-n-go’ kerana mereka (pemegang konsessi) dibayar secara ‘advanced’ dari pengguna dalam ratusan ringgit bagi seorang pengguna. Pemegang konsessi akan menggunakan tunai yang ratusan juta ringgit yang dikutip itu untuk dilaburkan ke dalam pasaran wang jangka pendek seperti pinjaman ‘overnight’ atau ‘week money’ kepada bank-bank dan ‘discount houses’ yang memberikan pulangan yang baik dan lumayan.

Pulangan tunai yang mereka dapati dari ‘touch n go’ itu membolehkan mereka mengaut keuntungan yang besar. Maka adalah wajar jika pemegang ‘touch n go’ atau ‘smart tag’ itu diberikan potongan setidak-tidaknya 30% atau setidak-tidaknya 20% setiap kali pembelian ‘advanced’ yang dilakukan oleh pengguna lebuhraya itu.

Justeru isu kenaikan tol ini wajar dikendalikan dengan baik dan tidak hanya pandai menaikkan tol tetapi bersama-sama berkorban untuk mengurangkan kos pengguna dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini. Jangan terlalu tertumpu kepada perjanjian yang terlalu berat sebelah itu.

Perjanjian konsessi ini perlu dikaji semula kerana satu isu yang tidak wajar ada di dalam perjanjian itu ialah kenaikan kadar tol dari masa ke masa. Sepatutnya ia sepatutnya mengandungi peruntukan untuk mengurangkan kadar tol tersebut kerana ‘traffic’ yang menggunakan lebuhraya itu bertambah berlipat kali ganda dari tahun ke tahun.

Najib dan pimpinan patut mengambil cadangan dengan serius kerana setakat ini Najib hanya nampak rakyat sahaja yang patut berkorban. Jika ini dilakukan, jangan pula nanti mengungkit-ngungkit bagaimana jasa pemegang konsessi berkorban seperti beliau mengungkit pengorbanan isterinya yang kononnya telah banyak berjasa kepada negara dengan kos yang begitu tinggi itu.

Kita berharap pimpinan kita belajar untuk menggunakan keupayaan berfikir. Berfikirlah sekejap setiap hari untuk rakyat secara serius. Kata agama kita ‘berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam’.

Banyak untungnya kepada rakyat jika berfikir secara serius untuk rakyat ini. Tetapi jangan pula berfikir seperti pemikiran Wahid di Jabatan Perdana Menteri itu. Cara berfikir Wahid Omar itu tidak mempunyai faedah untuk rakyat kerana alasan beliau yang kadar tol tidak dapat dikurangkan kerana isu kandungan perjanjian yang ada dalam perjanjian pemegang konsessi itu dengan kerajaan.

Entah fasal apa, orang-orang yang pandai pun, apabila menyertai UMNO dan menjadi ahli dalam barisan Jemaah Menterinya, pemikiran mereka akan menjadi tumpul. Tidak ada siapa yang boleh memberi jawapannya sampai ke hari ini.

Tuan-tuan jawablah sendiri.

Tiada ulasan: