Selasa, 17 Disember 2013

Dari Korporat Kepada 'Cap Ayam'

shahbudindotcom


Kenaikan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan yang berturut-turut sejak kebelakangan ini memang boleh membuatkan darah rakyat turut menaik saja. Kerajaan yang kononnya berpaksikan slogan "rakyat didahulukan" dan menjanjikan mimpi yang indah-indah semasa pilihanraya lalu, kini dilihat seperti melupai janji sendiri dengan tidak sabar-sabar mahu menyedut wang dari poket rakyat.

Bermula dengan minyak, gula, cukai pintu DBKL, cukai GST, kenaikan tarif letrik sebanyak 15 peratus dan kini ura-ura tambang bas, LRT dan monorel turut dalam cadangan untuk dinaikkan. Yang terbaru pula ialah kadar tol di seluruh negara. Semua ini memperlihatkan bukan lagi kerajaan yang mahu meringankan beban rakyat tetapi rakyat sedang dipaksa untuk menolong kerajaan.

Yang lebih membuatkan rasa jengkel rakyat ialah cara menteri atau pihak yang bertanggungjawab menghujahkan kenaikan tersebut. Dalam isu kenaikan kadal tol yang sedang hangat diperkatakan sekarang misalnya, hujah yang dilontarkan oleh Wahid Omar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, benar-benar mengecewakan dan seolah-olah beliau merasakan dirinya masih pemimpin korporat yang tiada tanggungjawab kepada rakyat.

Wahid berkata, kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan kerana ianya terkandung dalam perjanjian antara kerajaan dengan pemilik konsesi dan sekiranya tidak setuju dengan kenaikan kada baru itu, pengguna tidak perlu menggunakan lebuhraya, sebaliknya gunakanlah jalan biasa.

Jawapan sebegini bukanlah jawapan seorang menteri, ia jawapan orang yang sombong dan angkuh. Sebagai menteri, Wahid haruslah sedar bahawa beliau bukanlah seperti CEO Telekom atau Maybank dahulu yang hanya memikirkan untung sahaja. Sebagai pemimpin kerajaan, kliennya adalah rakyat dan jawapan seperti "cap ayam" ini benar-benar mengecewakan dan seperti ingin memperbodohkan rakyat.

Hujah dangkal Wahid ini bukan saja mendapat kecaman dan bahan serangan pengguna internet, bahkan pemimpin politik, baik UMNO mahupun pembangkang, turut kecewa dengannya. Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menyatakan, kerajaan sepatutnya menggunakan pengaruh dan kedudukan mereka untuk menangguhkan kenaikan itu memandangkan sebahagian besar pemegang konsesi lebuhraya adalah syarikat berkaitan dengan kerajaan atau GLC.

Pemuda UMNO yang selama ini diragui peranannya sebagai kumpulan pendesak berikutan sikap berdiam diri dalam beberapa isu, turut bersuara kali ini. Selain Khairy Jamaluddin yang berkata akan membawa suara keluhan anak muda berkaitan kenaikan kos sara hidup dalam mesyuarat kabinet Rabu ini, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun turut membantah hujah Wahid yang meminta pengguna jalanraya menggunakan jalan biasa jika tidak setuju dengan kenaikan tol itu.

Bagi beliau, kenyataan Wahid itu menggambarkan kerajaan tidak sensitif kepada keperluan rakyat, selain soal memilih jalan bertol atau jalan biasa adalah pilihan rakyat dan mereka tidak seharusnya diajar mengenainya.

Secara umumnya, kenaikan kadar tol ini mendapat bantahan hampir semua pihak, tambahan pula di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur, menggunakan jalan bertol bukan lagi pilihan. Misalnya mereka yang tinggal di sekitar Sungai Buloh dan Sri Damansara untuk ke TTDI dan Damansara wajib melalui jalan bertol, malah untuk ke Putrajaya juga tiada jalan biasa yang tidak melalui jalan bertol. Tindakan kerajaan begitu pantas mahu menaikkannya bukan saja mengingkari janji dalam manifesto pilihanraya lalu tetapi juga memperlihatkan kegagalan kerajaan dalam mengurus kerajaan dengan lebih baik.

Selain Najib yang dilihat tidak mahu memikir cara lain untuk meningkatkan pendapatan negara, pemilihan menteri dari kalangan pemimpin korporat yang tiada sensitiviti kepada keperluan rakyat, menambahkan lagi beban kebencian rakyat terhadap kerajaan yang ada. Selain Wahid, individu lain yang dilantik sebagai menteri melalui pintu belakang sebagai Senator ialah Idris Jalla.

Jika Idris yang bertanggungjawab terhadap Pemandu dan dianggap sebagai penasihat kanan Najib dalam mengurus ekonomi sudah lama dikecam dan dipertikaikan kerana beberapa dasarnya yang dianggap tidak sensitif terhadap keperluan rakyat, Wahid pula dilihat sebagai watak baru yang mempamerkan wajah serupa.

Keluarnya hujah beliau bahawa kalau tak suka jalan bertol, gunakanlah jalan biasa, tidak jauh maksud dan standardnya dengan ungkapan beberapa menteri sebelum ini seperti, kalau ayam mahal, janganlah makan ayam; kalau sayur mahal, tanamlah di belakang rumah; kalau tak setuju sistem pilihanraya, pindahlah dalam hutan; kalau rumah mahal, jangan beli rumah; kalau tak setuju sistem pendidikan, belajarlah di negara lain dan beberapa yang lain.

Semuanya ini adalah ungkapan "cap ayam" daripada menteri yang berlogo "ayam ayam" juga. Amatlah malang, Wahid yang cemerlang ketika menjadi CEO Telekom dan Maybank, akhirnya turut termasuk dalam kelompok yang sama sebaik bercampur dan bergaul dengan mereka ini.

Apakah mereka yang mentadbir kerajaan ini lupa bahawa sokongan rakyat kepada mereka sebenarnya hanyalah 47 peratus dan dengan kelebihan 23 kerusi saja?

Tiada ulasan: