Azuan Ab Rahman
KUALA LUMPUR: Kematian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) LK1 PAP Asrup Raidin yang disyaki dibunuh perlu disiasat dengan teliti oleh kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Imran Abd. Hamid berkata, mangsa perlu mendapat pembelaan sewajarnya dan tindakan tegas diambil jika terbukti kematian disebabkan seperti yang didedahkan keluarganya.
“Kita doakan kebenaran akan terbukti. Jika mangsa meninggal akibat dikasari, pelakunya tidak akan boleh terlepas,” kata Imran (gambar) kepada Keadilandaily.
“Kita amat berharap siasatan dilakukan secara teliti oleh pihak berwajib,” ujar bekas pegawai pemerintah angkatan laut itu.
LK1 PAP Asrup Raidin yang berasal dari Tenom dikatakan mati lemas 3 Disember lalu ketika menjalani latihan renang di platform Danau di Stesen Uniform, Pulau Terumbu Ubi di Laut China Selatan.
Laporan awal menyatakan mangsa meninggal dunia akibat lemas ketika menjalani latihan, disangkal ahli keluarga mangsa.
Anggota keluarga mangsa membawa bukti beberapa keping gambar menunjukkan mangsa mengalami beberapa kecederaan parah termasuk dicucuh api rokok.
Keluarga mendakwa mangsa meninggal dunia akibat didera dan dikasari, bukannya akibat lemas.
Ribuan pengguna laman sosial dan internet berkongsi gambar bertanyakan punca kematian dan menuntut keadilan buat keluarga mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan