Rabu, 18 Disember 2013

Afidavit Shafee: Polis soal siasat Mat Zain hari ini

OLEH LEE SHI-IAN
















 
 
Polis akhirnya mengambil tindakan untuk menyoal siasat bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim hari ini berhubung laporan polisnya yang menuduh peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (gambar) menipu dalam afidavit permohonan rayuan kerajaan terhadap pembebasan tuduhan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shafee dilantik sebagai timbalan pendakwa raya dalam permohonan itu di sebalik bantahan daripada Anwar, yang mengatakan bahawa peguam kanan itu tidak layak menyandang tugas itu selepas Mat Zain memfailkan kenyataan bersumpah dan laporan polis menyatakan peguam itu memfailkan afidavit palsu.

Menurut sumber yang rapat dengan laporan itu, Mat Zain dijangka datang ke ibu pejabat polis Putrajaya hari ini untuk merekodkan keterangannya.

“Susulan daripada laporan polis Mat Zain yang dibuat di balai polis Setapak, satu kertas soal siasat dibuka berhubung isu itu,” sumber memberitahu The Malaysian Insider.

“Selepas kenyataan Mat Zain direkodkan dan polis mendapat gambaran jelas, satu keputusan akan dibuat untuk sama ada membuka kertas siasatan dan mengklasifikasikan kes itu,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa polis Putrajaya mengendalikan kes berkenaan kerana afidavit yang dipersoalkan itu diserahkan kepada Istana Keadilan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat Mat Zain berhubung akuan berkanunnya (SD) setebal 31 halaman berhubung pertemuannya dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Shafee mengenai tuduhan salah laku Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ahad lalu, Mat Zain membuat laporan polis terhadap Shafee dan menyatakan afidavit peguam Umno itu yang diserahkan kepada Mahkamah Rayuan mengandungi fakta tidak tepat dan ia adalah menyalahi undang-undang.

Shafee memfailkan afidavit itu di mahkamah minggu lalu sebagai maklum balas terhadap afidavit kedua Anwar untuk mengenepikannya daripada mewakili Putrajaya dalam kes rayuan liwat berkenaan.

Permohonan Anwar dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan esok.

Dalam laporan polisnya, Mat Zain mendakwa Shafee melakukan sekurang-kurangnya dua kesalahan mengikut Kanun Acara Jenayah dengan yang pertama ialah membuat kenyataan palsu dalam afidavit.
Beliau menuduh Shafee turut menyembunyikan bukti material dengan niat memperdaya mahkamah.

Mat Zain yang mendedahkan kenyataan pada Selasa meminta Abdul Gani memberi penjelasan dan alasan mengapa pejabatnya memfailkan dua afidavit yang didakwanya palsu.

“Jika Abdul Gani terus berdiam diri atau tidak mahu mengambil tindakan, maka beliau dan keseluruhan Pejabat Peguam Negara perlu menanggung akibat dan bertanggungjawab.

“Dua afidavit palsu itu difailkan Shafee dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusoff,” katanya.

Mat Zain berkata, Abdul Gani patut menyingkirkan Shafee daripada mengetuai barisan pendakwaan dalam kes rayuan liwat itu serta-merta

Tiada ulasan: