THE MALAYSIAN INSIDER
Bekas
Menteri Penerangan melahirkan rasa kesal dan tidak puas hati dengan
cara isu Syiah dikendalikan di negara ini dan menyifatkan ia hanya
permainan politik yang semakin cetek dan pandir sahaja.
Tan Sri Zainuddin Maidin dalam tulisannya di Sinar Harian berkata,
setelah gempar seluruh negara bagaikan langit hendak runtuh, maka
akhirnya kelak rakyat akan melihat tiada sesiapa pun yang akan
bertanggungjawab untuk bertindak dengan berani dan tegas.
"Orang itu serah pada orang ini, orang ini serah pada orang itu," tulis
bekas Ketua Pengarang Utusan yang lebih dikenali sebagai Zam itu.
Maka, katanya, kredibiliti kerajaan Barisan Nasional dan Umno semakin terhakis.
"Berapa lamakah kita harus berada dalam permainan politik seumpama ini," katanya.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mempunyai 10 bukti mengaitkan
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) sebagai Syiah
menyerahkannya kepada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk tindakan
selanjutnya.
Jakim pula melepaskan tangan kepada Majlis Majlis Agama Islam Negeri
dan mereka ini pula akan bercanggah antara satu sama lain dalam soal
mengambil tindakan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar KDN, jika
mempunyai bukti yang kukuh, bertindak dan hadapkan Mohamad ke mahkamah
supaya dia dapat membela diri.
Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mendedahkan
orang nombor dua PAS adalah Syiah dalam ucapan penggulungannya di
Perhimpunan Agung Umno 2013.
Semalam, Mohamad mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Zahid.
Zam berkata, tindakan menendang ke sana sini untuk diambil tindakan menyebabkan rakyat akan tinggal dalam keraguan.
"Lebih bahaya lagi, mereka juga akan semakin ragu sama ada ajaran Syiah bertentangan dengan Islam atau tidak," katanya.
Beliau berkata, di akhirnya rakyat akan melihat dan yakin bahawa ini
hanyalah suatu permainan politik agama dan imej Mohamad atau lebih
dikenali sebagai Mat Sabu akan lebih hebat walaupun merapu dan akan
lebih banyak lahir orang yang mengamalkan ajaran seperti Ajaran Harun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan