Tuesday, October 25, 2011

Tarik balik semua sekatan kepada Aziz Bari

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan Selangor suka untuk mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak membuat kenyataan politik dan bermain politik dalam isu penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar).

“Isu ini adalah jauh daripada amalan politik sempit yang diamalkan Umno Barisan Nasional,” kata ketua penerangannya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli sebagai respons kepada pengumuman Najib dan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa mengenai penggantungan itu ditarik balik.

Namun demikian, katanya adalah malang apabila siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis tetap diteruskan.

Malah, ujarnya komputer pejabat Prof Aziz Bari sendiri difahamkan ditarik dan pelbagai sekatan lain yang dikenakan kepada beliau.

“Pastinya ini tidak kundusif untuk meneruskan kuliah pengajian,” ujarnya yang juga Pengarah Biro Mahasiswa AMK Malaysia kepada Harakahdaily.

Menurutnya, hal itu tidak seharusnya berlaku kerana isu berkenaan bukan sahaja melibatkan individu, pensyarah undang-undang universiti yang mengeluarkan pandangan tidak sealiran pemerintah, tetapi ia adalah isu yang melibatkan kebebasan akademik yang menjamin kualiti pendidikan dan masa depan generasi muda negara.

Tegasnya, Angkatan Muda Keadilan Selangor memandang serius sikap bermain-main pemerintah Umno Barisan Nasional di dalam mengendalikan isu itu.

Sehubungan itu, katanya AMK Selangor mendesak agar segala sekatan dan tindakan kepada profesor terkemuka undang-undang negara, Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik serta merta.

1 comment:

herman sham said...

Pada pandangan saya, perhimpunan tersebut tidak mendatangkan sebarang faedah. Nak buktikan apa? Nak larang supaya pihak tertentu tidak memurtadkan orang-orang Islam? Bukankah lebih baik diadakan kempen berterusan untuk "Himpunan Memenuhi Masjid Setiap Hari"? Sekiranya orang Islam memenuhi tiap-tiap masjid setiap waktu, seperti hari Jumaat, pasti Allah akan memberikan perlindungan. Tidak timbul masalah orang-orang Islam dimurtadkan. Yang nyatanya, sekarang ini umat Islam lebih suka berhibur dengan mengadap TV sepanjang masa. Yang datang ke masjid hanyalah orang-orang tua yang sudah hampir memasukki kubur.

5 November 2011 10:21 PTG