KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan menyelar bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mengaitkan sayap itu dengan Taliban ekoran pendirian mereka membantah penganjuran konsert Elton John di Genting Highlands akhir bulan depan.
Sambil menganggap pandangan Asri sebagai “belum mengenali Pemuda PAS”, Nasrudin berkata, bekas mufti itu juga boleh memberi tanggapan salah masyarakat terhadap sayap PAS.
“Menganggap Pemuda PAS diresapi unsur Taliban adalah anggapan keterlaluan dan boleh memberi gambaran salah kepada masyarakat. Bukan baru kita nyatakan bantahan terhadap konsert sebegini.
“Bantahan kita bukan sekat orang, halang orang, ganggu orang. Kita hanya lahirkan rasa tidak bersetuju dengan konsert tersebut sebagai panduan kepada pemuda-pemuda Islam lain,” kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini selepas menutup Ijtimak Tarbawi 2011 anjuran Dewan Pemuda PAS di sini hari ini.
Nasrudin mengulas pandangan Asri yang menegur bantahan Dewan Pemuda PAS Pahang terhadap konsert tersebut atas alasan penyanyi gay itu menggalakkan maksiat.
Asri yang kini bertindak sebagai felo penyelidikan di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) dipetik berkata, halangan itu tidak perlu dan cukup sekadar meminta kerajaan tidak membenarkan orang Islam menyertainya.
Beliau turut menasihatkan parti Islam itu “jangan tiru Taliban”, sebaliknya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.
Baru-baru ini, Dewan Pemuda PAS Pahang membantah konsert Greatest Hits Tour melibatkan John di Arena of Stars, Genting Highlands 22 November ini kerana dianggap tidak sesuai dengan budaya negara ini.
Ketuanya Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz berkata walaupun mungkin penyanyi yang berkahwin sesama lelaki itu datang sekadar menghiburkan peminatnya, tetapi bimbang ikon muzik dunia itu akan menjadi ikutan negatif kepada generasi muda.
John, 64, akan mengadakan konsert sulungnya di Malaysia.
Dalam kenyataannya Nasrudin juga menegaskan, PAS tidak pernah menggunakan pendekatan kekerasan dalam dakwah mereka apatah lagi pendekatan ala Taliban.
Sebaliknya lebih kepada pendekatan lunak iaitu turun ke padang mendekati anak muda dengan menyebarkan risalah kesedaran agar menolak sebarang aktiviti yang melalaikan dan maksiat.
“Memang kita bantah itu tujuannya agar orang Islam tidak pergi ke konsert tersebut. Sebab itu saya cadang beliau (Asri) ambil masa turun ke medan sekali dengan Pemuda PAS, jumpa anak muda. Jangan hanya bercakap dari dalam bilik berhawa dingin,” katanya.
Nasrudin juga meminta bekas mufti itu membuktikan di mana salah bantahan mereka terhadap konsert penyanyi itu.
Katanya, jika sekalipun pendekatan mereka “dilihat salah” oleh Asri, namun tindakan tersebut dibuat atas perinsip asas mencegah kemungkaran yang diwajibkan oleh Islam.
“Kalau tak setuju dengan pendekatan kita, kita terbuka menerima cadangan pendekatan lain dari beliau (Asri)... pendekatan ini perkara ijtihad.
“Pemuda tegas dengan perinsip mempertahankan Islam... kita bertindak atas dasar mencegah kemungkaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment