KUALA LUMPURt ― Datuk Ibrahim Ali yang memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket PAS tiga tahun lalu akan kalah jika bertanding semula di bahagian tersebut pada pilihan raya umum ke-13, kata parti Islam itu.
Justeru, kepimpinan PAS berkata jentera pilihan raya parti kawasan tersebut tidak gentar walau siapa pun calon yang bertanding dari Barisan Nasional (BN) di bahagian Parlimen Pasir Mas.
Yang Dipertua PAS Pasir Mas Hanipa Ahmad berkata, pihaknya yakin kerana pada asalnya kawasan Parlimen Pasir Mas adalah ‘kubu’ parti itu.
Ibrahim tewas pada 2004 tetapi menang empat tahun kemudian apabila bertanding atas tiket PAS.
Selepas pilihan raya umum 2008 Ibrahim mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas.
“Kita yakin kali ini, kalau kita berhadapan dengan BN walau siapa pun calon BN, kita yakin insya-Allah kita akan menang,” katanya dipetik Harakahdaily.
Hanipa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pengkalan Pasir berkata bahagian parlimen Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum lalu ditandingi Ibrahim Ali dengan menggunakan tiket PAS dan itu kira “selesai.”
Beliau berkata, pimpinan PAS sentiasa patuh kepada arahan daripada pimpinan.
“Sekarang ini kita berkemungkinan besar dalam pilihan raya umumk ke-13 akan berhadapan dengan Datuk Ibrahim Ali yang akan menggunakan ‘dacing’. Itu kemungkinan besar.
“Jadi kita sudah bersip sedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
“Kita telah membuat persiapan rapi, kita menguatkan jentera DUN masing-masing, di samping menguatkan jentera pilihan raya kawasan dengan mengadakan siri kursus tertentu,” katanya.
Pada Mac 2008, Ibrahim memenangi kerusi Pasir Mas dengan majoriti 8,991 undi. Ibrahim memperoleh 28,673 undi manakala Ahmad Rosdi Mahmad mendapat 19,682 undi.
Pada 2004, kerusi Pasir Mas dimenangi oleh Ismail Noh dari PAS dengan memperoleh 17,526 undi, Abd Rahim Abd Rahman yang mewakili BN mendapat 16,275 undi dan Ibrahim (6,198).
No comments:
Post a Comment