Wong Teck Chi
Bekas editor sebuah majalah berita tempatan dalam bahasa Cina - Special Weekly - mendakwa dia telah ditukarkan dari majalah tersebut tahun lalu selepas tekanan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Bercakap dalam sidang akhbar semalam, Seow Kuwing Leong
berkata, dia ditukar selepas Hishammuddin melawat pejabat akhbar Sin Chew Daily di Petaling Jaya Ogos tahun lalu dan didakwa meminta dia ditukar.
Editor kanan itu mendakwa Hishammuddin melawat Sin Chew Daily pada 16 Ogos tahun lalu dan isu pertukarannya dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.
Sin Chew Daily dan Special Weekly dimiliki Chinese Media International Limited, sebuah konglomerat media yang dikuasai jutawan Sarawak, Tan Sri Tiong Hiew King.
Bagaimanapun, menurut Seow, arahan yang diberikan oleh menteri tersebut bukan dalam bentuk bertulis, tetapi hanya secara lisan.
Menurutnya, dia dimaklumkan oleh pegawai atasannya, Law Beng Cheee mengenai keputusan tersebut beberapa hari selepas lawatan itu, dan sejak itu dia telah ditukar ke meja advertorial.
Seow mendakwa, pegawai berkenaan memberitahunya yang dia telah disenaraihitamkan dan mesti menghentikan kerjanya.
Walaupun Law tidak mengulas lanjut mengenai sebab di sebalik pertukarannya, Seow berkata dia dimaklumkan oleh orang lain bahawa ia adalah disebabkan oleh isu-isu dalam Special Weekly.
"Oleh kerana Special Weekly menghadapi masalah memperbaharui permitnya, maka pihak pengurusan membangkitkan perkara itu dalam pertemuan dengan Hishammuddin. Beliau kata, anda sepatutnya tahu bagaimana untuk menanganinya. "
Bagaimanapun, Seow berkata dia tidak pasti kebenaran alasan yang diberitahu kepadanya itu.
No comments:
Post a Comment