KUALA LUMPUR: Sekretariat Pembangunan Kg Baru mempersoal peruntukan RM15 juta untuk pembangunan kawasan Melayu tersebut sedangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Bharu 2011 (RUU PPKB) belum mendapat kelulusan Dewan Negara.
Anggota Sekretariat, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, belum reda dengan persoalan GLC yang dilantik tanpa persetujuan penduduk untuk menguruskan Kg Bharu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin mengumumkan sejumlah peruntukan secara tiba-tiba.
"Rang Undang-Undang masih di peringkat Dewan Rakyat tapi sudah ada peruntukan RM15 juta untuk Kg Bharu.
"Bagaimana Rang Undang-Undang belum masuk Dewan Negara, belum diperkenankan Yang Di Pertuan Agong tapi sudah umum peruntukan?" Kata beliau pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (Kota) 2011 di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Bharu hari ini.
Beliau yang merupakan seorang peguam berkata, tindakan Nong Chik itu jelas melanggar prosedur sesuatu kelulusan RUU.
Ini termasuk penubuhan pasukan interim untuk menguruskan pembangunan g Bharu yang hanya diumumkan dalam majlis tertutup di antara menteri dan Badan Bukan kerajaan (NGO) yang kononnya mempunyai kepentingan di Kg Bharu, Lembaga Pentadbir Kg. Bharu (MAS), dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) 19 Oktober lalu di Putrajaya.
"Pengumuman penubuhan pasukan interim ini jelas menunjukkan bahawa kementerian Wilayah mendahului Parlimen dan Yang Di Pertuan Agong," katanya.
Tegas beliau juga, tindakan Raja Nong Chik itu membelakangkan hak pewaris dan pemilik Kg Bharu yang masih membantah RUU PPKB.
"Kenapa begitu gelojoh hendak membangunkan tanah Kg Bharu sehingga pemilik dan pewaris tanah tidak diberikan maklumat terperinci tentang Rang Undang-Undang dan bentuk pembangunan yang hendak dilaksanakan?" soalnya.
Sehubungan itu ujarnya, sesi penerangan akan terus dijalankan bagi memberikan kesedaran kepada penduduk dan mereka juga akan dibawa ke sesi persidangan Dewan Negara akan datang bagi mendengar sendiri jawapan Raja Nong Chik.
"Kita akan teruskan kempen penerangan dan akan bawa penduduk ke Dewan Negara untuk mendengar dan berjumpa dengan menteri," katanya.
5 Oktober lalu, RUU PPKB diluluskan di Dewan Rakyat selepas dibahaskan hanya dalam waktu setengah hari. |
No comments:
Post a Comment