Tuesday, October 25, 2011
Soalan berhubung sultan Johor 'ditolak tanpa alasan'
Susan Loone Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim memulakan hari pertamanya di sidang Dewan Dewan Undangan Negeri dengan mempersoalkan rasional ketua menteri negeri itu memohon maaf kepada Sultan Johor berhubung kenytaannya yang didakwa memburuk-burukkan negeri itu.
Azhar yang juga ADUN Penaga, berkata soalan bertulisnya itu dibuat bagi pihak semua penduduk Pulau Pinang, yang ingin tahu mengapa Lim Guan Eng memohon maaf sedangkan ketua menteri itu berkeras bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
Soalan yang dikemukakannya sebelum Dewan Undangan Negeri bersidang hari ini, bagaimanapun telah ditolak oleh speaker Datuk Abdul Halim Hussein.
Azhar, setiausaha badan perhubungan Umno negeri, berkata soalan yang diajukannya itu adalah "terus-terang dan jelas", dan tidak mempunyai apa-apa agenda tersembunyi.
Katanya, tidak ada niat jahat berhubung soalannya itu kerana ia ditujukan bukan kepada Lim secara peribadi tetapi kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
"Seluruh negara tahu tentang hal itu ... tindakan menolak soalan saya adalah tidak munasabah," katanya.
Bulan lalu, Lim memohon maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana menyinggung perasaan baginda berhubung satu kenyataan yang didakwa memburukkan negeri Johor.
Katanya, beliau bersetuju dengan titah baginda yang tidak mahu diseret ke dalam arena politik tetapi merasakan bahawa beliau telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh BN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment