Harakahdaily |
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menilai tindakan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terhadap Prof. Dr. Abdul Aziz Bari beberapa hari lalu – meminta surat tunjuk sebab dan menggantung tugas beliau - sebagai satu lagi manifestasi penerusan politik membuli dan campur tangan terhadap pelbagai institusi penting negara yang semakin mengggila sekarang ini. “Gejala seburuk ini tidak mungkin berlaku di mana-mana negara yang dianggap maju dan tinggi martabat akademiknya, kata Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty. Katanya, sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa, UIAM sewajarnya memiliki kebebasan akademik dan keterbukaan dalam memberikan pandangan khususnya dalam bidang kepakaran dan pengkhususan ahli akademik yang terlibat. Beliau berkata, UIAM sepatutnya tidak harus memberikan reaksi yang menampakkan ia dipengaruhi oleh pihak luar yang boleh menjejas imej dan martabat akademiknya. Seharusnya, kata beliau kenyataan Dr Aziz itu perlulah dilihat dari perspektif seorang pakar perlembagaan yang sememangnya diiktiraf, berautoritatif dan menjadi rujukan akademik sekian lama. “Ia perlulah dihormati, dihargai dan dinilai sebagai pandangan profesional semata-mata,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini. Beliau menambah, andainya ada pandangan yang berbeza, sewajarnya ia dikemukakan juga mengikut adab akademik sepertimana lazimnya demi perkembangan dan penyuburan budaya ilmu secara sihat dan utuh. Katanya, adalah jelas bahawa kenyataan yang beliau kemukakan itu tiada langsung berunsur penghinaan mahupun cubaan mempersoal, apatah lagi mencabar kedudukan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Apa yang nyata berlaku, ujarnya adalah reaksi beliau mengenainya itu telah diputar-belit dan disensasikan oleh kelompok media yang bersekongkol dengan Umno dan gerombolannya. Hakikatnya, tambahnya sebagai warganegara Dr Aziz mempunyai hak asasi menyuarakan pandangan dan dilindungi perlembagaan. “Ketegasan beliau telah menjadikan UIAM lebih dihormati dan dipandang tinggi,” katanya. Justeru, katanya lagi tidak harus timbul prejudis melulu seolah-olah jenayah akademik besar telah dilakukan sehingga ‘menjejaskan kepentingan universiti’. Apatah lagi, ujarnya Dr Aziz telahpun secara profesional memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak yang menjalankan siasatan dalam isu ini - polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM). Malah, katanya Dr Aziz bersedia memberikan penjelasan terperinci bagi mengelakkan manipulasi mana-mana pihak yang tidak berniat murni. Justeru, tegasnya PKR dengan ini menggesa agar UIAM perlu lebih profesional dan berkeyakinan diri dalam menangi persoalan seperti ini di masa hadapan. Katanya, keputusan menggantung tugas adalah amat menyedihkan. “Merit beliau selaku pensyarah paling kanan, telah berkhidmat selama 22 tahun dan sekaligus berjaya melahirkan ramai graduan yang menjadi kebanggaan negara dalam bidang ini telah dipertikaikan dan dipandang rendah. “Lebih membimbangkan, pembelajaran lebih 100 siswa-siswi peringkat ijazah sarjana muda hinggalah doktor falsafah yang sedang mengikuti pengajian bersama beliau pasti akan terjejas,” ujarnya lagi. Oleh itu, katanya PKR menuntut agar pihak penguasa politik segera menghentikan campurtangan mereka terhadap UIAM di dalam isu ini. Tambahnya, tindakan penggantungan tugas terhadap beliau hendaklah ditarik balik dan segera memohon maaf maaf tanpa syarat kepadanya. “Sehingga bilakah amalan ‘membunuh Hang Nadim kerana kecerdikannya’ ini mahu diteruskan dalam arena politik negara ini?” soalnya. |
Saturday, October 22, 2011
Sampai bila 'Hang Nadim' mahu terus dibunuh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment