KUALA LUMPUR― Pertemuan antara Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam kelmarin gagal mengelak piket peringkat nasional badan induk kesatuan sekerja itu pada 3 November ini.
Kedua-dua pihak terbabit tidak menggunakan pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu untuk menghindar pertikaian berkaitan dengan Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011).
Kementerian Sumber Manusia juga dikatakan tidak meminta MTUC agar menggugurkan rancangan berpiket kali kedua bulan depan.
Presiden MTUC Khalid Atan berkata, Dr Subramaniam juga tidak menimbulkan sebarang pertanyaan mengenai piket mereka ― yang kedua ― yang akan diadakan di seluruh negara secara serentak awal bulan depan.
Pertemuan kelmarin turut disertai lima pemimpin MTUC lain. MTUC memutuskan piket nasional pada mesyuarat majlis am pada 10 Oktober lalu.
Piket pertama berkaitaan rang undang-undang itu telah diadakan pada 3 Oktober lalu di kawasan bangunan Parlimen.
“Kami telah menjangkakan menteri dan kementerian akan membangkitkan soal piket, akan bertanya tentang piket tetapi tiada apa-apa dari pihak Kementerian Sumber Manusia.
“Jadi, oleh kerana menteri sendiri tidak bertanya atau mengatakan apa-apa mengenai piket 3 November, nampaknya tidak mengambil berat, maka MTUC tidak memberi apa-apa penjelasan kepada beliau dan kementerian pada pertemuan semalam (kelmarin),” kata Khalid kepada The Malaysian Insider.
Justeru tegas, MTUC akan meneruskan piket kebangsaan 3 November bagi memberi penjelasan kepada orang ramai khususnya kaum pekerja mengenai kesan pindaan Akta Kerja 1955.
Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011), yang diluluskan minggu pertama sidang Dewan Rakyat, akan dibawa ke Dewan Negara selepas ini.
MTUC juga meletakkan harapan pada anggota Dewan Negara untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu.
Piket 3 Oktober lalu diadakan bagi mendesak Kementerian Sumber Manusia menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011) di Parlimen tetapi desakan dan rayuan MTUC tidak dilayan pihak kerajaan.
MTUC mendakwa ia tidak membantah keseluruhan pindaan Rang Undang-undang Kerja sebaliknya hanya beberapa peruntukan baru termasuk sistem kontraktor bagi tenaga kerja.
Khalid berkata pertemuan kelmarin memang memfokus soal peruntukan sistem kontraktor tenaga kerja, dengan Menteri Sumber Manusia menekankan akan menggunakan Seksyen 2 Akta Kerja yang memberi kuasa kepada menteri.
“Menteri berkata beliau akan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 2 untuk mengawal kesan dan implikasi sistem kontraktor tenaga kerja. Tetapi kami menegaskan peruntukan baru ini tidak wajar dimasukkan ke dalam Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011),” kata Khalid lagi.
MTUC menegaskan peruntukan itu akan menyediakan ruang kepada majikan untuk menggaji pekerja-pekerja menerusi ejen atau pihak ketiga yang dikenali sebagai sistem kontraktor.
Khalid berkata, MTUC berpendapat menerusi sistem ini pekerja tidak akan mempunyai majikan tetap dan dengan mudah terdedah kepada penganiayaan.
Khalid juga berkata pihaknya telah menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu.
“Kami berharap dapat bertemu dengan Datuk Seri Najib dalam waktu terdekat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai piket 3 November ini, Khalid menegaskan MTUC tidak akan mendapatkan bantuan parti-parti politik.
“MTUC tidak berpihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Ahad lalu, PKR dan PAS membuat kenyataan akan menyokong usaha MTUC bulan depan.
Khalid berkata, anggota gabungan dalam MTUC berkeupaya untuk mengendalikan kempen mereka sendiri tanpa melibatkan sokongan parti-parti politik.
“Tindakan MTUC ini semata-mata hanyalah kempen yang sah untuk menjadikan penggubal undang-undang dan orang ramai menyedari akibat buruk terhadap pekerja sekiranya pindaan itu diterima pakai,” kata Khalid dalam kenyataan berasingan.
No comments:
Post a Comment