KUALA LUMPUR — Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan keputusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menarik balik penggantungan tugas semalam tidak akan memberi apa-apa makna sebaliknya sekadar hanya mahu menyelamatkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rektornya yang “bingung” dengan perkembangan semasa.
Sehubungan itu, peguamnya Dr Zulqarnain Lukman berkata pihak UIA dan kerajaan jika benar-benar komited dengan kebebasan akademik, maka apa jua siasatan dan tindakan yang tidak berasas, yang dijalankan sekarang perlu dihentikan.
Lewat petang semalam, UIA mengumumkan keputusan menarik balik penggantungan tugas sejak Rabu lalu dan mengarahkan Aziz melaporkan diri hari ini.
Bagaimanapun siasatan UIA, sebagaimana siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih berjalan.
“Anak guam berpandangan bahawa pengguguran penggantungan oleh pihak UIA ini tidak memberi apa-apa makna kerana kerosakan telah berlaku.
“Pengguguran penggantungan ini hanyalah sekadar menyelamatkan perdana menteri dan rektor (Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin) yang jelas bingung dan salah faham tentang apa yang berlaku,” kata Zulqarnain dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Najib dijadual mengadakan kunjungan ke UIA malam ini.
Zulqarnain berkata penyiasatan masih diteruskan dan keadaan itu cukup mengganggu minda dan ketenangan fikiran Aziz (gambar) selaku pensyarah undang-undang UIA.
“Bagaimana mungkin beliau nak mengajar dan balik seperti biasa macam mana?” katanya lagi.
Zulqarnain menambah, pihak polis masih teruskan siasatan dan begitu juga dengan pengurusan UIA manakala keputusan mendakwa belum diketahui.
“Ertinya kerosakan sudah pun dilakukan dan menarik balik penggantungan tadi tidak ada makna,” kata beliau lagi.
Beliau juga berkata pengguguran penggantungan kerja juga jelas satu bentuk tindakan untuk mengatasi kerosakan yang telah diakibatkan dan mungkin diarahkan pihak-pihak tertentu supaya pihak tersebut dapat bernafas lega dan supaya anak guam terus tidak dapat bersuara.
Aziz, yang juga pakar perlembagaan telah digantung tugas sejak Rabu lalu dan dibenarkan kembali ke kampus UIA pagi ini.
Beliau disiasat berhubung kenyataannya mengenai titah keputusan Sultan Selangor berkaitan isu Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya.
No comments:
Post a Comment