Hujung minggu lalu, saya menghadiri dua program khusus mengenai media, di hadapan aktivis PAS yang kelihatan ghairah menanti tarikh pilihan raya umum ke-13. Pada 22 Oktober, Persidangan ICT dan Media Baru 20011, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, dan esoknya kursus kewartawanan, di Ipoh, Perak.
Membedah fenomena dunia siber -- dan kompleksiti media baru dengan segala perubahan yang begitu pantas -- tentunya bukan tugas mudah, apatah lagi dilakukan di hadapan mereka yang mahir ICT. Sebenarnya saya tertinggal jauh di belakang berbanding penguasaan dan kepakaran peserta persidangan terhadap teknologi media baru.
Di zaman internet "mendefinisikan" pergolakan politik antarabangsa, sehingga Facebook, twitter dan youtube dilihat mampu menjatuhkan sesebuah kerajaan dan menggulingkan regim, seperti ditunjukkan di Timur Tengah, saya cuba membawa perspektif agak berbeda, sambil mempersoalkan beberapa "tanggapan dan kepercayan" terhadap mukjizat kuasa siber.Dalam konteks siasah tempatan, "padang permainan" kini hampir sama rata; tiada lagi monopoli maklumat sepertimana situasi 20 tahun lalu. Meskipun media konvensional, seperti akhbar, radio dan televisyen, masih dikongkong elit penguasa dengan pelbagai peraturan ketat, namun majoriti rakyat mempunyai pilihan dan akses terhadap media baru, yang menawarkan berita dan laporan lebih seimbang.
Faktor-faktor lain yang juga membantu kesedaran berpolitik, antaranya adalah kualiti pendidikan, meluasnya kelas menengah, pertumbuhan urbanisasi, peningkatan tahap ekonomi, celik IT, dan pengaruh globalisasi.
Namun, sewaktu masih ramai yang teruja, misalnya dengan pengaruh kejayaan revolusi rakyat 18 hari di Dataran Tahrir, Kaherah, yang difaktorkan oleh pencetusnya, Khalid Said dan Wael Ghonim, melalui sumbangan besar media sosial, kita wajar menekuni semasaknya gelagat dan kerencaman politik lokal. Malaysia harus ada formula tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan realiti dunia luar, tanpa memperkecilkan suntikan semangat dan motivasi di atas kejayaan mereka.
Khalid Said adalah anak muda Mesir, 28 tahun, dibunuh kejam Amin Daulah (unit khas polis paling ditakuti di Mesir) apabila mendedahkan komplot jahat polis bersama pengedar dadah, yang dimuat-turun dalam youtube. (Perhatikan pengaruh luar biasa video bergerak melalui youtube). Kepalanya dikatakan dihentak ke dinding dan tangga sehingga mati; mayatnya dicampak ke tepi jalan tetapi polis mendakwa beliau mati disebabkan terlebih mengambil dadah.
Wael Ghonim, eksekutif muda Google, membuka akaun Facebook, 'Kulluna Khalid Said' atau 'We are All Khalid Said', memaparkan gambar ngeri Khalid, yang kemudiannya menaikkan rasa amarah amat sangat rakyat terhadap Presiden Hosni Mubarak. Di peringkat awal siapa pun tidak menjangkakan jaringan laman sosial mampu mencetuskan revolusi rakyat secara aman yang bersejarah itu.
(Gambar: Ahmad Lutfi Othman bersama Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Nuri Endut, Pengarang Berita dan Wartawan Harakah Perak, dan turut sama, aktivis PAS, selepas kursus kewartawanan, di Pejabat Perhubungan PAS Negeri, Ipoh)
Tarikh 25 Januari diingati sebagai "Hari Melahirkan Marah". Wael ditangkap. Penahanannya tidak meredakan malah mencetuskan kebangkitan lebih hebat. Ramai nyawa terkorban. Rasa takut yang menyelubungi rakyat Mesir selama lebih 3 dekad hilang. Melalui youtube kita saksikan mereka berani mengasak kereta perisai tentera.
Laluan internet disekat, tetapi anehnya ia makin mendorong lebih ramai membanjiri Tahrir. Ya, daripada bersembang dalam FB dan merayau di alam maya, tekad mereka lebih serius untuk berkubu di lapangan, berdada langsung menuntut perubahan. Akhirnya Hosni tinggal keseorangan, "perkakas tradisinya" seperti tentera dan media "berpaling tadah. Beliau terpaksa berundur juga.
Realiti Mesir waktu itu diasak enam isu besar: Kadar kemiskinan tinggi, merebaknya rasuah, pengangguran tidak terkawal, inflasi melonjak, gaji rendah, Hosni mungkin bertanding presiden lagi atau memberi jalan kepada anaknya, manakala suara rakyat langsung tidak dilayan.
Secara kasar, isu sama turut melanda negara kita, tetapi perinciannya agak berbeda. Malaysia nampak ke hadapan daripada segi kebebasan bersuara, agihan kekayaan dan partisipasi politik. Sistem demokrasi dan perjalanan pilihan raya kita lebih maju dan tersusun. Penyelewengannya agak "sofistikated" dan tidak begitu menjolok mata seperti Mesir.
Dalam kedua-dua majlis, di Taman Melewar dan Ipoh, saya menekankan agar aktivis arif memahami kerencaman persekitaran dan budaya-sensitiviti lingkungan. Selain menguasai perkembangan ICT dan aplikasi media baru sepenuhnya, aspek modal insan mesti diperkukuhkan ke peringkat kecemerlangan. Meskipun internet seolah-olah dianggap semacam "agama baru" di abad ke-21 ini, tidak semudah itu pengaruhnya melempah, seperti yang kita hajatkan.
Saya tertarik dengan soalan seorang peserta, yang membangkitkan keberkesanan media baru dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak. Bagi saya, internet hanya satu alat atau medium berkesan untuk kita berhubung langsung dengan pengundi. Banyak lagi aspek lain wajar ditekuni.
Dalam konteks Sarawak, apakah rakyatnya dapat akses dengan media baru secara berkesan dan menyeluruh? Saya perhatikan, banyak pendedahan berfakta mengenai salahlaku dan penyelewengan Ketua Menteri, Taib Mahmud, bertaraf mega disiarkan beberapa laman, tetapi para pengunjungnya tidaklah begitu ramai. Malah, dengan hambatan keluasan negeri, kemudahan perhubungan, tahap celik IT, dan politik ugut BN terutama di kawasan luar bandar, Sarawak memerlukan lebih banyak masa untuk melakukan perubahan.
Dalam pada itu, asas penulisan dan kewartawanan perlu dihadam sebaiknya oleh aktivis dunia siber. Begitu juga selok-belok penggunaan bahasa yang baik dan indah, dengan etika terjaga. Memang internet telah menghapuskan segala hirarki dalam penerbitan media tradisi. Tulisan tidak perlu diedit dan disemak lagi. Dengan sekali klik atau tweet, kita dapat berkongsi sehingga jutaan orang. (Tapi ia tidak seindah disangka, hal jaringan ini perlu dianalisis lebih rapi).
Saya mengingatkan, tanpa kredibiliti, media (termasuk internet) akan hilang bisa dan pengaruhnya. Sedangkan, pembinaan dan pemantapan pengaruh merupakan perkara asas terpenting dalam proses reformasi. Jika akhbar pro-Umno, seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, semakin tipis pengaruhnya disebabkan hilang wibawa, maka laman-laman sosial turut terdedah kepada gugatan serupa.
Facebook atau blog tidak akan membawa impak positif jika ia hanya sarat dengan gosip dan khabar angin.
Justeru, program melahirkan lebih ramai penulis berwibawa harus digiatkan, termasuk di kalangan blogger dan 'facebooker'. Bahan yang terhidang dalam laman sosial mestilah berkualiti, baik dari segi hujah, idea, pendekatan mahupun susunan bahasa, serta dapat dipertanggungjawabkan dan mampu mempengaruhi khalayak. Biarpun lebih terdedah kepada generasi muda, mutu kandungan usah diremehkan.
Apa pun, tentulah pendekatan dan persembahan dalam laman sosial tidak perlu terikat dengan bentuk penulisan kewartawanan. Pastinya ia lebih padat tetapi santai, ringkas dan bersahaja, mudah difahami, selari dengan jiwa anak muda tetapi harus ada elemen "menggemparkan" sehingga ramai audien mahu berkongsi dan membuat pautan.
Sejumlah 12 juta pemegang akaun Facebook di Malaysia memang merupakan sasaran berpotensi, yang jika digerakkan dengan bijaksana, mampu membentuk gelombang dan menarik turun BN daripada Putrajaya. Tapi harus diingat, generasi yang bermaklumat tidak semudah itu dapat dipengaruhi. Mereka semakin bijak menilai dan menganalisis, serta menuntut pembuktian. Ya, jangan sama sekali perkecilkan minda anak muda ...
Saya kira, Facebook juga bergantung dengan capaian youtube dan ruang itu belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh aktivis Pakatan. Tidak banyak klip video mengenai senario sosio-politik-ekonomi, apatah lagi yang benar-benar kreatif, telah dihasilkan. Sedangkan "bahan-bahan mentahnya" mudah didapati di mana-mana. Klik sahaja enjin carian seperti Yahoo atau Google, segalanya di hadapan mata.
Misalnya mengenai pembentangan bajet Najib Razak dan belanjawan alternatif Pakatan. Begitu banyak fakta dan pendedahan menarik dikemukakan Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan yang lain, susulan daripada Buku Jingga, yang boleh dipakejkan dalam yotube. Tawaran Pakatan juga dapat diolah dalam bentuk animasi mudah.
Seorang rakan FB saya telah menunjukkan klip-klip video kempen parti-parti politik di Britain, yang dirakam untuk tayangan dalam masa hanya 60 saat. Malah ia mendedahkan fakta menarik, merujuk insiden-insiden tertentu yang berlaku dalam masa satu minit, misalnya jumlah kecurian atau pelepasan gas karbon disoksida di England. Mungkin ia boleh dijadikan rujukan sebagai persiapan kempen pilihan raya umum akan datang.
Jika pilihan raya 1999 menyaksikan ledakan laman-laman web reformasi, dan pilihan raya 2008 disendat dengan kemunculan blog dan youtube, tidak syak lagi perang PRU13 akan riuh-rendah dengan pertarungan "sengit tetapi santai" di laman-laman sosial.
Cadangan agar aktivis lebih didedahkan dengan aspek-aspek teknikal dan meneroka pengkhususan, seperti kaedah menaikkan ranking blog, wajar diberi perhatian segera. Mungkin bengkel-bengkel lebih kecil perlu diusahakan. Lagi pula, keajaiban dunia siber, khususnya berkaitan jaringan laman sosial, masih banyak misterinya. Kita belum benar-benar mengoptimumkan aplikasinya.
Apa pun, sewaktu kita begitu obses dengan media baru, usah lupa medium tradisi, yang sepatutnya menjadi pelengkap di antara satu sama lain. Internet bukannya alternatif tetapi lebih dilihat sebagai satu lagi medium untuk memperkukuhkan prasarana sedia ada. Janganlah diremehkan pengedaran risalah, pembikinan VCD, penerbitan buletin dan usaha menyebarluaskan Harakah itu sendiri.
II.
Saya belum sempat meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2010. Meneruskan tradisi daripada tahun-tahun sebelum ini, pendedahan tentang pelbagai kelemahan, kepincangan dan penyelewengan bukan lagi satu kejutan.
Tiga tahun lalu, kita digemparkan (sekadar contoh kecil) dengan harga set screwdriver RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital kodak melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).
Selain itu, pihak Audit juga tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) kepada kontraktor yang terlibat dalam pembinaan 6 kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia, bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan!
Tahun ini, ia berulang lagi. RM56,350 dibelanjakan bagi sepasang teropong visi malam, iaitu 29 kali lebih tinggi daripada harga pasaran bernilai RM1,940. Komputer riba dan pencetak warna berharga RM3,428 dibeli pada harga RM11,845 (lebihan 246 peratus).
Harga 23 kuda yang dibeli Majlis Sukan Negara berjumlah RM5.66 juta dan dibuat melalui rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan. Lebih teruk, hanya lima kuda didapati layak dan dapat bertanding pada pertandingan World Endurance Championship.
Kita juga masih belum mendapat jawapan Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan ketua wanita Umno, di atas kegagalan Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan National Feedlot Corporation Sdn Bhd, kepunyaan suami dan anak-anak Shahrizat.
Sasaran projek bernilai RM250 juta di atas tanah anugerah seluas 5,000 ekar itu bagi memenuhi 40 peratus permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan. Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran adalah 1,500 ekor sehari sedangkan jumlah lembu yang kini disembelih hanya 20 ekor sehari.
Bukan setakat Shahrizat, malah Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau perlu memberi respons segera.
Benarlah rumusan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man: "Kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan Audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada peti undi."
Ya, masakan saban tahun kita belum jelak lagi dengan paparan Laporan Ketua Audit yang hampir sama. Itu belum dikira rasuah atau salahguna kuasa elit pemerintah bersama suku-sakat mereka, yang tidak dapat dihidu SPRM ...
No comments:
Post a Comment