Sunday, October 23, 2011

LDP mahu Umno patuhi konsep perkongsian kuasa


MALAYSIA KINI

Parti Demokratik Liberal (LDP) meminta semua parti komponen BN di Sabah, khususnya Umno memelihara dan mematuhi konsep perkongsian kuasa yang dipersetujui selama ini.

NONEPresidennya Datuk VK Liew berkata anggota perwakilan yang menghadiri Kongres Tahunan Ke-22 LDP di Sandakan, Sabah pada 30 Oktober ini mungkin membuat gesaan agar konsep itu sentiasa dipatuhi.

Konsep berkenaan telah dipersetujui apabila BN menawan semula Sabah daripada pentadbiran Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985, yang merupakan parti pembangkang ketika itu.

PBS mentadbir Sabah berikutan kemenangannya pada pilihan raya negeri 1985.

Pentadbirannya berterusan hingga 1994 - pada mulanya sebagai anggota komponen BN dan kemudian sebagai pembangkang apabila ia keluar daripada parti gabungan itu pada Julai 1990, sehari sebelum pilihan raya negeri diadakan.

Bagaimanapun, pentadbirannya berakhir apabila BN kembali berkuasa di Sabah berikutan tindakan beberapa ADUN PBS berpaling tadah. Pada 2002, PBS membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan BN.

NONE"Pada mulanya, LDP diberi jawatan dalam Kabinet, walaupun ia hanya menang satu daripada tiga kerusi yang ditandinginya. Kemudian, pada 2001, bekas presiden kami Tan Sri Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri melalui sistem penggiliran.

"Apabila tempoh beliau memegang jawatan itu berakhir pada 2003, jawatan tersebut diambil alih oleh Datuk Seri Musa Aman daripada Umno. Tapi, apabila Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) menjadi Perdana Menteri pada Oktober 2003, sistem penggiliran itu dihapuskan dan Datuk Seri Musa terus menyandang jawatan Ketua Menteri.

Tidak dicalonkan

"Prinsip yang dipersetujui itu terus dipatuhi sehinggalah baru-baru ini apabila wakil rakyat daripada LDP tidak dicalonkan untuk menganggoti Kabinet negeri. Para anggota perwakilan akan membangkitkan isu ini kerana mereka mahu keseimbangan yang wujud sebelum ini dipulihkan. Jika tidak, ia mungkin dilihat wujudnya perbuatan memungkiri janji," kata Liew dalam temu bual dengan Bernama.

NONELiew berkata walaupun wujud perbezaan pendapat tentang beberapa perkara, beliau tetap yakin pucuk kepimpinan di Sabah "tidak akan kabur penglihatan apabila membuat keputusan" atau "terlepas pandang prinsip yang sangat penting berhubung perkongsian kuasa" yang telah dipersetujui sejak 1994.

"LDP sentiasa setia dan bersungguh hati dalam perjuangannya bersama BN sejak parti ini ditubuhkan pada 1989. Kami tidak pernah berhenti atau menarik diri daripada menganggotai BN. Mungkin saya dilihat terlalu lantang dalam menyuarakan pendirian kami, tapi kami lakukan semua ini demi kepentingan Sabah," katanya.

Liew berkata tindakan menyerahkan jawatan dalam Kabinet kepada Gerakan atas tiket LDP dan kemudian penyerahan jawatan Timbalan Ketua Menteri kepada PBS, telah mewujudkan keadaan tidak seimbang kerana anggota LDP berpendapat bahawa konsep perkongsian kuasa telah dinodai dan oleh itu perlu diperbetulkan semula.

NONEApabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengisytiharkan keluar daripada BN pada 17 Sept 2008, kuotanya bagi jawatan Timbalan Ketua Menteri diserahkan kepada LDP dan ADUN parti itu, Datuk Peter Pang dilantik menyandang jawatan itu oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Bagaimanapun, Pang meningalkan parti itu pada akhir Ogos tahun lalu dan menyertai Gerakan pada 15 Mac tahun ini serta mengekalkan jawatannya dalam Kabinet negeri, walaupun dibantah keras oleh LDP kerana berpendapat Gerakan tidak sepatutnya mendapat jawatan Kabinet negeri melalui pintu belakang.

Keputusan Musa

Selepas itu, LDP terkejut pula dengan keputusan Musa melantik Timbalan Presiden PBS, yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat negeri Datuk Yee Moh Chai sebagai Timbalan Ketua Menteri untuk menggantikan Pang, yang disifatkan parti itu sebagai suatu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Liew berkata tiada salahnya bagi LDP menuntut kembali kerusi yang diberi kepada SAPP setelah SAPP keluar daripada BN.

"Saya percaya para pengundi Cina memerlukan sebuah parti yang sudah mereka kenali sejak sekian lama untuk melindungi kepentingan mereka dan meraih sokongan maksimum untuk BN. Tindakan membenarkan sebuah parti berasaskan kaum Cina yang bukan berasal dari Sabah bertanding di kerusi berkenaan merupakan suatu langkah yang amat tinggi risikonya. Ia boleh dijadikan modal oleh pembangkang," katanya.

election sabah 080304Beliau berkata pada pilihan raya umum lepas, LDP menang kesemua empat kerusi yang ditandinginya -- satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi negeri iaitu kerusi Parlimen Sandakan dan kerusi negeri Tanjung Kapor (Kudat), Merotai (Tawau) serta Karamunting (Sandakan).

Calon mampu menang

"Ketiga-tiga kerusi negeri yang dimenangi dengan selesa oleh LDP itu ditandingi muka baru dan membantu Barisan menguasai 61 daripada 62 kerusi negeri.

"Setiausaha Agung Teo Chee Kang memenangi kerusi Tanjong Kapor, Pang Nyuk Ming (Merotai) dan kemudian Peter Pang (Karamunting), manakala saya pula merampas semula kerusi Parlimen Sandakan," katanya.

Kata beliau pada pilihan raya umum akan datang, ramai profesional muda bersedia untuk memainkan peranan utama dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta parti berkenaan.

"Seharusnya, pemilihan calon yang mampu menang perlu dibuat daripada parti yang mampu menang juga. Oleh itu, bagi saya, dalam memilih calon yang mampu menang, seseorang itu mestilah mempunyai kesanggupan dan kebolehan. Bukan mereka yang hanya mempunyai kesanggupan saja, tetapi tidak mempunyai kebolehan," katanya.

muhyiddin yasinLiew berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, dijadualkan merasmikan kongres tahunan LDP itu pada 30 Okt ini.

"Sejak LDP ditubuhkan pada 1989, kami telah mengadakan kongres sebanyak 22 kali. Kami juga mengadakannya untuk kali kedua di Sandakan. Kami menjangka 30 bahagian dengan 650 anggota perwakilan serta 330 pemerhati akan menghadiri kongres kami kali ini.

"Surat jemputan telah dihantar kepada semua parti komponen BN, termasuk Ketua Menteri Sabah. Kongres ini amat penting bagi kami kerana para anggota perwakilan mahukan parti ini mengembalikan keseimbangan demi mencapai matlamat perjuangan bersama," katanya.- Bernama

No comments: