Wednesday, October 26, 2011

Laporan Audit: Salahguna kuasa dan rasuah berterusan

Viktor Wong, Malaysia Chronicle


Di sebalik janji-janji perdana menteri dan presiden Umno Datuk Najib Razak untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam kerajaannya, melalui Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya, jentera pentadbirannya masih dicacati pelbagai perbuatan yang dianggap menyalahi undang-undang, seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, penggelapan wang kerajaan dan sebagainya.

Ini dengan jelas telah menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memainkan peranan mereka dengan aktif di dalam memerangi gejala ini yang kian berterusan bahkan bertambah, sama seperti mengikut keturunan.

Hampir pada setiap tahun, apabila laporan yang dikemukakan oleh Ketua Audit Negara, maka terdedahlah pelbagai perbuatan yang jelas menunjukkan bahawa penyalahgunaan kuasa dan rasuah amat meluas sekali di dalam sektor awam.

Namum demikian, kerajaan BN yang di bawah pimpinan Najib telah gagal menunjukkan ketegasan mereka di dalam memerangi perbuatan yang tidak bermoral ini. Ini adalah kerana, jelas kontraktor-kontraktor Umno yang mempunyai pelbagai kepentingan di dalam berbagai-bagai bentuk saluran pembekalan kepada kerajaan turut terlibat sama di dalam memperluaskan perbuatan yang keji ini yang boleh juga dikatakan hampir pada setiap tahun, wang yang selalu kita bayar sebagai cukai pendapatan dihabiskan dengan begitu sahaja.

Oleh kerana itulah, para kontraktor-kontraktor dan pemimpin Umno menjadi semakin kaya raya, manakala masyarakat Melayu pada amnya terus hidup di dalam serba kemiskinan yang sungguh memeritkan bahkan masih ada banyak lagi orang-orang Melayu yang masih miskin melarat sehingga tidak mampu membeli makanan, masih buta huruf, tidak mempunyai kediaman, kebuluran dan sebagainya.

Jadi adakah Umno ini benar-benar memperjuangkan hak-hak masyarakat Melayu seperti yang didakwanya selama ini? Dan jika sekiranya Umno benar-benar memperjuangkan nasib bangsa tersebut, kenapa pula masih terdapat sebahagian besar kaum tersebut hidup menderita dengan keadaan yang tak terhingga?

Telan berjuta-juta Ringgit

Kita tengoklah laporan audit yang dikeluarkan baru-baru ini yang menyatakan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) telah membelanjakan lebih daripada RM5.66 juta untuk membeli 23 ekor kuda baka khas. Adalah difahamkan juga bahawa kuda-kuda berbaka yang dibeli oleh MSN itu kesemuanya telah dibayar melebihi harga pasaran.

Sementara dalam laporan audit yang seterusnya turut mendedahkan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) yang membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810 peratus di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan kajian lautan yang langsungnya tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat.

Selain daripada itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dipertanggungjawabkan untuk membela nasib orang-orang Melayu dan kaum bumiputra yang lain telah membelanjakan lebih daripada RM54 juta untuk membeli pelbagai peralatan dan peralatan yang kebanyakannya langsung tidak mempunyai kaitan dengan usaha-unsaha jabatan tersebut untuk membantu masyarakat Melayu yang miskin dan daif.

Dan jika kita meneliti laporan audit tersebut seterusnya, kita akan dapati lebih banyak jabatan-jabatan kerajaan yang asyik berbelanja besar ke atas pembelian dan perolehan barangan, peralatan dan bahan-bahan yang langsung tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat jelata.

GLC lagi rugi teruk

Dalam pada itu, banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau lebih dikenali sebagai GLC turut mengalami kerugian yang berterusan dan ianya berlaku pada setiap tahun.

Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Kerugian yang berterusan oleh beberapa GLC yang besar ini telah menunjukkan bahawa kesemua syarikat-syarikat tersebut tidak belajar daripada kesilapan yang terdahulu dan tidak ada usaha yang menyeluruh daripada para pengurusan GLC ini untuk memperbetulkan keadaan yang semakin meruncing ini.

Hasilnya, wang rakyat dibazirkan dengan sewenang-wenangnya.

Rakyat akan terus diabai

Di dalam saat-saat yang memerlukan, kita tidak melihat SPRM bertindak tegas menyiasat kerugian yang dialami oleh banyak jabatan-jabatan kerajaan dan beberapa GLC ini.

Apa yang SPRM tahu, hanyalah membabitkan diri mereka di dalam kancah politik dengan hanya memerangi para pemimpin pembangkang dengan kononnya mereka ini telah melakukan “rasuah”. Yang benar-benar rasuah dan menyalahgunakan kuasa mereka di dalam kerajaan tidak pula diendahkan kerana mereka ini adalah ahli-ahli dan para pemimpin Umno.

Jadi, adakah SPRM ini benar-benar profesional atau sebaliknya?

Oleh yang demikian, selagi BN dan Umno masih berkuasa, selagi itulah wang rakyat akan terus dipertaruhkan seperti suatu perjudian dengan tidak mengendahkan kerugian dan kehilangan wang.

Adakah rakyat memperoleh apa-apa faedah, hasil daripada pertaruhan tersebut?- Malaysia Chronicle

No comments: