"Kita menggalakkan inovasi serta rekaan menerusi Internet dan media sosial," kata Rais Yatim.
GENEVA: Malaysia hari ini mengemukakan pendirian bahawa kebebasan Internet terutama media sosial perlu diimbangi dengan norma dan nilai murni kemanusiaan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata pendirian itu dikemukakan dalam forum dan perbincangan berhubung media sosial pada persidangan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Telekom World 2011 yang sedang berlangsung di sini.
“Kita menggalakkan inovasi serta rekaan menerusi Internet dan media sosial, tetapi ia harus diimbangi dengan nilai-nilai positif kemanusiaan yang juga perlu dipromosikan oleh badan-badan antarabangsa, persatuan dan badan-badan bukan kerajaan.
“Sementara kebebasan bagi media sosial atau media kemasyarakatan dilakukan melalui Facebook, Twitter dan lain-lain, kebertanggungjawaban mesti ada di belakang operasi tersebut,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri forum bertajuk “Social Media for Social Change” (Media Sosial Bagi Perubahan Sosial) di persidangan berkenaan, di sini pada Isnin.
Rais adalah antara peserta dalam forum yang turut disertai Presiden Agensi Persatuan Penerangan Kebangsaan Korea dan Pesuruhjaya Jalur Lebar Dr Kim Seang Tae dan Wakil Khas ITU ke Suruhanjaya Jalur Lebar yang juga bekas Menteri Komunikasi Finland Suvi Linden.
Terdahulu, Rais menghadiri acara pembukaan Sidang Kemuncak Kepimpinan Jalur Lebar, di ITU Telecom World 2011 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.
Perubahan besar
Mengenai pandangan yang dikemukakan di dalam forum itu bahawa perubahan besar telah berlaku di Mesir, Libya, Tunisia dan Yaman berikutan perkembangan media sosial, Rais berkata ia hanya pandangan sebelah pihak sahaja.
Katanya perubahan seperti itu tidak dapat dipastikan sama ada akan membawa seratus peratus kebaikan.
“Apa yang harus kita terima daripada hakikat perkembangan media sosial ini ialah kita perlu melihat kepada kepentingan individu, kerajaan atau negara dan kepentingan para blogger dan juga pengamal media sosial itu sendiri.
“Tidak boleh hanya yang dipertanggungjawabkan ialah individu atau kerajaan, sedangkan mereka yang mengamalkan media sosial, lepas tangan dan tiada tanggungjawab,” katanya.
Rais berkata Malaysia turut mengemukakan pendirian bahawa tidak wajar apabila di dalam dunia media sosial, individu yang mencetuskan sesuatu mesej itu, berlindung di sebalik ketanpanamaan, yang tidak boleh dikesan.
Justeru, jika ada peraturan yang dicetuskan sendiri oleh masyarakat media sosial, adalah wajar kerana ini akan dapat mengelakkan situasi di mana semuanya diwujudkan menerusi penguatkuasaan kerajaan.
“Ia harus digabungkan dan tanggungjawab media sosial itu mesti wujud menerusi pengamal-pengamalnya,” katanya.
Katanya Malaysia turut mengemukakan pandangan bahawa setiap individu yang mengamalkan media sosial perlu mempunyai sifat tanggungjawab dan jika didapati melanggar mana-mana undang-undang negara, maka mereka perlu menghadapi risiko dan tindakan yang setimpal.- Bernama
No comments:
Post a Comment