Pada mulanya, Ketua Wanita Gerakan Tan Lian Hoe menyelar Presidennya, Koh Tsu Koon kerana terlalu "lemah", sehingga partinya dimalukan. Beberapa jam kemudiannya, Kak Hoe "menjelaskan" bahawa beliau tidak berniat untuk "mendesak agar Presiden digulingkan", cuma berharap agar Koh Tsu Koon tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Pada keesokannya, drama ini terus menjunam. Kak Hoe berkata, segala-galanya keputusan dibuat berdasarkan Presiden parti, malah disajikan adegan berjabat tangan dengan Koh Tsu Koon - sebagai tanda berbaik semula.
Sikap "lemah-lembut" Koh Tsu Koon bukanlah sesuatu yang baru. Biasanya orang akan mengungkit insiden yang berlaku sebelum 8 Mac 2008, sebagai contoh untuk membuktikan betapa lemahnya Koh Tsu Koon. Selepas 8 Mac 2008, Koh Tsu Koon bukan lagi Ketua Menteri, maka berkuranglah peluang untuk hulubalang tempatan UMNO menghina beliau.
Walaupun menyandang jawatan Menteri Kabinet, namun kuasa untuk mengagih sumber tempatan tidak berada dalam genggaman Koh Tsu Koon. Maka malaslah hulubalang UMNO untuk mengambil peduli Koh Tsu Koon. Perwatakan ketua tempatan UMNO ini bukan menghina dengan niat untuk menghina, tetapi untuk menuntut sumber, barulah taktik "ugut", malah adakalanya "mengamuk" digunakan.
Untuk berlaku adil kepada Koh Tsu Koon, insiden memalukan yang menimpa Koh Tsu Koon sudah berkurang dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Mungkin masanya tepat untuk Tan Lian Hoe melemparkan kritikan pada kali ini, kerana Gerakan mungkin mengalami nasib "buih berkecai" dalam PRU akan datang. Namun, alasan yang dikemukakan Tan nampaknya tidak konkrit. Kenyataan Koh Tsu Koon bahawa dirinya meletak jawatan untuk bertanggungjawab terhadap keputusan Gerakan dalam PRU 12, mungkin memadai untuk memisahkan diri dari zaman silam.
Barangkali orang akan berkata, menerima pujukan agar kekal menyandang jawatan selepas meletakkan jawatan, pada hakikatnya tidak memikul apa-apa tanggungjawab. Terdapat kes rujukan lain, misalnya bekas Presiden MCA Ong Ka Ting yang berundur selepas PRU ke-12. Oleh itu, orang luar boleh melihatnya sebegitu, perletakan jawatan ini sekadar sandiwara sahaja dan tidak usah dipandang serius.
Tetapi Tan Lian Hoe tidak boleh mengambil pendirian sebegitu. Ketika memujuk Koh untuk kekal (seandainya ada usaha sedemikian), adakah Tan Lian Hoe sebagai pemimpin utama dalam Gerakan, menyatakan bantahannya? Koh tidak undur, sebaliknya mara - melangkah masuk kabinet melalui pintu belakang (Dewan Negara), apa pula sikap Tan? Persoalan ini bukan untuk menafikan nilai keinsafan. Setiap insaf dan taubat harus dipuji.
Tan Lian Hoe telah menambah "kegemparan" ketika Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan membuka tirai. Ia cukup sebagai titik asal untuk mencungkil keinsafan. Paling tidak, perhimpunan ini perlu memberi persepsi "seolah-olah sedang insaf". Kebetulan ia boleh membezakan diri daripada persepsi yang diberikan MCA dalam Perhimpunan Agung Tahunan mereka, baru-baru ini.
Perhimpunan MCA dan Gerakan
Tanpa diduga, apa yang menarik perhatian dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA tahun ini adalah penampilan "pemudi cantik-molek"! Selepas itu, pemimpin parti pula membela diri dalam isu "pemudi cantik-molek" ini, menjadi riak-gelombang selepas perhimpunan agung. Dalam persidangan yang mustahak untuk perwakilan Pusat, Wanita dan Pemuda, adakah kita didengarkan pandangan yang berwawasan? Apapun tak ada!
Dengan tahap perhimpunan sedemikian, apa sukarnya untuk Gerakan melewati MCA? Kritikan Tan Lian Hoe adalah das tembakan pertama untuk membawa perubahan. Menjelang PRU, ini mungkin peluang terakhir buat Gerakan. Namun, pada hakikatnya, Tan Lian Hoe dan pimpinan Gerakan yang lain jelas tidak bersemangat untuk memperbaiki keadaan - dan akhirnya perhimpunan Gerakan menjadi sesuatu yang tidak menonjol.
Sesungguhnya, ada asasnya pengkritik Tan Lian Hoe yang cuba memperbetulkan kenyataan Tan, mengemukakan hujah bahawa jangan persalahkan "kelemahan" Koh Tsu Koon untuk segala-galanya. Tetapi, seandainya bukan masalah individu, maka ia semestinya masalah struktur. Di manakah kelemahan parti? Adakah persoalan ini diteliti dengan serius?
Menuntut Koh Tsu Koon untuk bertarung dengan Lim Guan Eng dalam PRU - pertarungan antara Ketua dengan Ketua - untuk mengembalikan maruah, menaikkan semangat parti? Namun, mengapa pula mengembalikan maruah, mengapa pula nak menaikkan semangat? Satu parti politik yang mana nilai roh jiwanya sedang menjunam, apakah ia memerlukan maruah dan semangat lagi? Adakah Gerakan benar-benar merenungi persoalan ini, iaitu mereka bertarung untuk apa? Seandainya bertarung sekadar untuk bertarung, wujud kerana mahu terus wujud - maka jangan pula mengharapkan orang ambil kisah sama ada Gerakan akan musnah secara keseluruhannya atau tidak.
Berkorban untuk buka lembaran sejarah?
Kelemahan Gerakan yang paling besar adalah tidak berani untuk berdepan dengan seruan zaman moden ini. Untuk sekian lama Barisan Nasional memusnahkan sistem negara kita, dan harus digulingkan sejak awal lagi, agar negara kita masuk ke landasan pembangunan yang normal. Baru-baru ini, untuk mengekalkan kuasa, BN mengangguk secara senyap, malah membiarkan berleluasanya perkauman dan agama yang sempit dan ekstrem. Pada masa yang sama, BN membuat solekan kosmetik dengan menjalankan pembaharuan palsu yang berubah sekadar pada kulit dan bukan isinya.
Apa yang dikesali, media arus perdana kehilangan profesionalnya. Maklumat palsu melambak, berkemungkinan besar mempengaruhi rakyat yang kekurangan maklumat. Lembaran senario baru yang dibuka selepas 8 Mac 2008, mungkin berdepan dengan risiko untuk menyurut.
Berdiri di persimpangan sejarah, seandainya dikatakan Gerakan lemah, maka ia disebabkan Gerakan belum berani untuk membebaskan diri dari godaan kuasa, dan menjadikan demokrasi, kebebasan dan rule of law sebagai nilai yang mengatasi kelangsungan partinya. Koh Tsu Koon (gambar kiri) berkata, beliau secara individu sanggup berkorban. Kerangkanya terlalu kecil. Apa yang perlu direnungi adalah, sanggupkah Gerakan berkorban untuk penciptaan sejarah yang lebih besar?
Mungkin masalah Gerakan dan Koh Tsu Koon bukan kerana "lemah", tetapi kekurangan hikmah dan "suara hati" (conscience).
*Lim Yew Chien pernah menjadi pengacara rancangan forum isu semasa, juga kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 20 Oktober 2011.
Wednesday, October 26, 2011
GERAKAN: Mungkin bukan kerana lemah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment