Tuesday, October 25, 2011

Bantuan RM500 tidak ikhlas?

Majdan Dagang


'Rumah siap pahat berbunyi', mungkin itulah peribahasa yang sesuai digunakan terhadap pembentangan belanjawan 2012 yang baru berlalu.

Pengumuman kerajaan bahawa setiap keluarga yang pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah akan diberi RM500 pada akhir tahun ini dinilai daripada pelbagai sudut oleh rakyat, ada yang gembira dan ada yang tersenyum sinis.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pemberian tersebut adalah salah satu usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion.

Selain syarat pendapatan tersebut, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana manakala bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan pemberian RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 530 juta ringgit.

Tidak ketinggalan baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM260 juta.

Dari satu sudut, memanglah, rakyat wajar mengalu-alukan pemberian seumpama itu. Sekurang-kurangnya dapat membebankan sedikit golongan sasaran.

Namun berdasarkan syarat-syarat yang diserikan, pasti akan ada golongan sasaran yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut.

Yang pertama, syarat jumlah pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah. Syarat seperti ini bakal menidakkan hak sesebuah keluarga yang mempunyai pendapatan lebih sedikit daripada syarat tersebut. Bagaimana jika pendapatannya RM3,100? Adakah layak menerima bantuan ini?

Perincian syarat-syarat keluarga yang menerima bantuan ini akan menimbulkan pelbagai perbahasan lain, seperti; keluarga yang mempunyai lima orang anak yang bersekolah dan berpendapatan RM,3100 tentunya lebih layak menerima bantuan berbanding keluarga yang berpendapatan RM2,950 yang hanya menanggung seorang anak bersekolah. Jika syarat-syarat itu terlalu khusus dan ketat, maka makin ramailah rakyat yang tidak puas hati dengan dasar kerajaan tersebut.

Yang kedua, bakal penerima mestilah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Bagaimana pula nasib rakyat lain yang tidak berdaftar tetapi pendapatan isi rumah mereka di bawah RM3,000? Golongan yang ramai berada dalam kelompok ini tentulah rakyat luar bandar yang bekerja sendiri – apakah mereka ada menerima bantuan dalam bentuk lain? Amat malang jika akhirnya kelompok inilah yang paling malang kerana terpinggir dan dipinggir secara terhormat oleh pemerintah.

Sehingga kini, kelompok inilah yang sering diabaikan dalam setiap kali belanjawan dibentangkan. Mereka hanya mendengar jumlah peruntukan yang berbilion ringgit untuk rakyat luar bandar, hakikatnya pengumuman itu terbang dibawa angin dan lesap begitu sahaja – hampir setiap tahun. Janji-janji manis itu sekadar menyedapkan telinga dan pengharapan yang tidak pernah kunjung tiba. Rakyat luar bandar masih jauh ketinggalan dalam banyak aspek terutama dari segi pembangunan.

Yang ketiga, jumlah pemberian tersebut tidak memadai dengan peningkatan kos sara hidup masa kini. Pemberian itu sememangnya diterima dengan tangan dan hati yang terbuka. Hal ini kerana, wang tersebut datangnya daripada pelbagai jenis cukai. Realiti suasana kos hidup yang tinggi pada hari menjadikan jumlah tersebut sangat kecil nilainya.

Sudahlah penerima dikenakan syarat-syarat yang menyukarkan, jumlah tersebut kurang pula dengan nilai semasa. Pada masa yang sama pemberian tersebut tidak menyeluruh dan mungkin menyebabkan jurang antara rakyat dan kerajaan semakin menjauh.

Dalam hal ini, masih ada cara yang lebih mudah dan semua rakyat mendapat manfaatnya. Rakyat tidak perlu dikenakan apa-apa syarat dan kerajaan tidak perlu bersusah payah menggerakkan agensi di bawahnya untuk membuat kerja-kerja tambahan.

Yang rakyat keseluruhan mahu bukan sekadar pemberian tersebut, tetapi yang lebih penting ialah penurunan kos sara hidup. Jika kerajaan dapat menurunkan harga minyak dan gas ke tahap yang sewajarnya, maka segala kos barangan lain akan turut turun. Apabila semua nilai barangan dapat direndahkan, maka dengan sendirinya nilai pendapatan rakyat akan tinggi.

Tidak perlulah rakyat disogokkan dengan pemberian “wang ehsan” tersebut. Apabila kos hidup tidak tinggi, dengan pendapatan isi rumah RM3,000 rakyat mampu memiliki rumah teres, kenderaan, dan menanggung persekolahan anak-anak dan sebagainya.

Itu lebih baik daripada bersusah payah memperjuang gaji minimun. Hal ini kerana, perjuangan menuntut gaji minimum tidak akan habis-habis selagi kos sara hidup meningkat dan terus meningkat.

No comments: